Siakap Keli

Kegiatan Suami Isteri, Ipar Disyaki Aktif Curi, Pecah Masuk Masjid Tumpas

LUMUT, 31 Jan (Bernama) — Kegiatan sepasang suami isteri dan seorang ipar, dipercayai ahli kumpulan ‘Geng Wira’ yang aktif melakukan jenayah curi serta pecah masuk masjid dan surau di beberapa daerah di Perak, tumpas selepas polis menahan ketiga-tiga suspek, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata pasangan suami isteri itu masing-masing berumur 34 dan 20 tahun serta seorang lagi yang juga abang kepada wanita itu berusia 28 tahun, ditahan di Segari di sini, pukul 6.25 petang.

Beliau berkata tangkapan itu dilakukan susulan satu laporan polis dibuat Pengerusi Masjid Al-Falah, Batu 16, Ayer Tawar, kira-kira 6.35 petang, 1 Jan lepas.

“Pihak polis merampas beberapa peralatan pecah rumah, pelbagai peralatan elektrik dan sebuah kereta Perodua Kancil. Dengan tangkapan ini, kita telah dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah masuk masjid di sekitar Manjung.

“Namun kita percaya geng ini turut terlibat dengan beberapa kes pecah masuk masjid di beberapa daerah lain antaranya Pantai Remis, Ayer Tawar dan Beruas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini, hari ini.

Nor Omar berkata modus operandi Geng Wira yang melakukan jenayah itu sejak lebih setahun lepas ialah menyasarkan peralatan elektrik serta tabung di masjid dan surau pada waktu pagi sebelum menjualnya di sebuah premis di Kamunting, Taiping.

“Kita telah menjejaki premis berkenaan dan sedang menyiasat dengan lebih lanjut. Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berumur 22 tahun, di sebuah rumah di Kampung Pundut, Lumut, kira-kira pukul 11.35 pagi, Rabu lepas, yang disyaki seorang pengedar dadah di beberapa kawasan di daerah Manjung termasuk Lumut dan Sitiawan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM15,000 di dalam beg silang milik suspek.

“Polis menemui tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 1.1 kilogram, dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 52 gram, satu penimbang digital dan dua paket plastik lutsinar mengandungi plastik kosong pelbagai saiz,” katanya.

Nor Omar berkata lelaki itu yang juga seorang penganggur memiliki tiga rekod lampau membabitkan kes dadah dan suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.