Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kerajaan Negeri Salur RM1.2 Juta Baiki Trek Olahraga Stadium

KUALA TERENGGANU, 31 Jan (Bernama) — Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM1.2  juta bagi membaik pulih trek olahraga di sekeliling padang bola sepak Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abd Karim berkata ia bagi merealisasikan hasrat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menggunakan kembali SSMZA sebagai gelanggang utama bola sepak bagi pasukan Terengganu FC (TFC) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020.

Beliau berkata trek olahraga yang rosak teruk disebabkan runtuhan dan terbiar dalam tempoh lama akan digantikan dengan lapisan rumput tiruan jenis ‘artificial turf’ di sekeliling padang bola berkenaan.

“Proses memuktamadkan skop kerja dan rundingan harga telah diselesaikan pada Rabu lepas di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Wisma Negeri, bagi membolehkan padang itu digunakan sebagai ‘venue’ pasukan TFC musim ini.

“Kontrak itu juga dianugerahkan kepada syarikat RS Greenmaster, iaitu kontraktor sama yang menjalankan kerja-kerja pembaikan tempat duduk dan rumput di padang SSMZA sebelum ini,” katanya  melalui kenyataan dalam laman  sosial facebook rasmi TFC, Terengganu Football Club, hari ini.

Sementara itu, Hishamudin yang juga Timbalan Presiden PBSNT berkata kerja-kerja pembaikan tempat duduk penonton dan pemasangan rumput jenis Bermuda yang dimulakan di padang berkenaan pada 2018 juga telah siap sepenuhnya dan akan diuji untuk permainan dalam tempoh terdekat.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa