Siakap Keli
Gambar: Kpndhep Pulau Pinang

KPDNHEP Pulau Pinang Kesan Dua Syarikat Guna Perisian Salinan Langgaran

BUKIT MERTAJAM, 31 Jan (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengesan dua syarikat yang menggunakan perisian salinan langgaran dalam operasi yang dijalankan di Seberang Jaya dan Perai di sini semalam serta Rabu.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Seberang Perai Tengah (SPT) Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata dalam pemeriksaan pertama pada Rabu di sebuah syarikat kejuruteraan di Seberang Jaya, pihaknya mendapati dua unit komputer yang digunakan syarikat itu mengandungi perisian salinan langgaran.

“Dua buah komputer di syarikat itu didapati menggunakan perisian salinan langgaran Autocad 2007 dan Autocad Civil 3D 2017 dan pihak kami menyita dua buah komputer untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Tambahnya dalam serbuan kedua semalam, pihaknya membuat pemeriksaan di sebuah syarikat menjalankan perniagaan pembinaan dan mendapati sebuah komputer serta komputer riba telah dikesan menggunakan salinan langgaran iaitu Autocad 2016, Windows 10 Pro dan Office Professional Plus 2013.

“Kami merampas dua buah komputer di syarikat itu dan keseluruhannya sebanyak empat unit komputer termasuk sebuah komputer riba bernilai RM7,000 dirampas dalam operasi dua hari berkenaan,” katanya.

Ahmad Ahrazzuddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM2,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, KPDNHEP memberi amaran kepada orang ramai dan peniaga supaya tidak mengunakan salinan langgaran atau perisian cetak rompak dalam melaksanakan urusan harian perniagaan kerana ia adalah satu kesalahan melibatkan perlindungan harta intelek serta dilindungi.

“Pihak KPDNHEP memandang serius perkara ini dan kami akan terus menjalankan operasi bagi mengesan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sedemikian. Tindakan tegas akan dikenakan dan kita tidak akan berkompromi dengan kesalahan menggunakan perisian salinan langgaran atau perisian cetak rompak,” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa