Siakap Keli
Gambar: Bernama

Malaysia Proaktif Sebelum Pengisytiharan WHO – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) — Malaysia sudah mengambil langkah ke hadapan dan proaktif dalam mencegah penularan jangkitan 2019 novel koronavirus sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap virus tersebut.

Malah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia turut mengemudi ASEAN Emergency Operation Centre Network for public health emergencies (ASEAN EOC Network) dalam berkongsi maklumat terkini dengan negara-negara di rantau Asia Tengggara, berhubung virus tersebut.

“ASEAN EOC Network membolehkan negara anggota berkongsi data secara masa sebenar tentang analisis dan situasi koronavirus serta langkah pencegahannya.

“Semua ini telah pun Malaysia lakukan sebelum pengisytiharan WHO. Kita  (Malaysia) kita berada di atas dan ,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini koronavirus di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

WHO pada Khamis, mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus.

Pengumuman itu dibuat Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus di ibu pejabat WHO di Geneva, selepas mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan WHO.

Media melaporkan setakat 7 malam ini, wabak itu telah mengorbankan 213 orang di China dengan lebih 9,000 kes dicatatkan.

Sebanyak 115 kes disahkan di 22 negara di luar China termasuk Malaysia yang mencatat lapan kes, kesemuanya melibatkan warga China.

Dr Dzulkefly berkata sehingga tengah hari ini, tidak ada penambahan kes positif koronavirus di Malaysia dan kesemua lapan individu itu berada dalam keadaan stabil.

Ditanya sama ada kerajaan China ada membuat permohonan supaya kesemua warganya yang positif dihantar pulang dari Malaysia, beliau berkata: “Belum ada permintaan lagi.”

Mengulas mengenai laporan media bahawa China menghantar dua pesawat untuk membawa pulang rakyatnya dari Malaysia dan Thailand, Dr Dzulkefly berkata KKM tidak diberitahu mengenai hal itu.

Beliau berkata sehingga tengah hari tadi, terdapat 17 kes sedang menunggu keputusan makmal.

“Jumlah kumulatif kes pesakit di bawah siasatan (PUI) bagi koronavirus adalah 127 orang di mana 68 warganegara Malaysia, 56 warganegara China dan masing-masing satu warganegara Jordan, Brazil dan Thailand,” kata Dr Dzulkefly.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa