Siakap Keli

MYTV Lakukan Penyusunan Semula Frekuensi MyFreeview

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) akan melakukan kerja-kerja penyusunan semula frekuensi siaran digital TV myFreeview secara berperingkat bermula 4 dan 6 Feb ini sebagai usaha meningkatkan mutu perkhidmatan.

MYTV dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja penyusunan frekuensi akan dilakukan mulai pukul 1 pagi hingga 6 pagi di stesen pemancar Bukit Fraser (4 Feb) dan pemancar Gunung Ulu Kali (6 Feb), Pahang, melibatkan perubahan pada frekuensi kedua.

“Ketika ini penyiaran TV digital menggunakan dua frekuensi di setiap stesen pemancar. Penonton dinasihat agar meletakkan dekoder atau TV berintegrasi digital (IDTV) dalam keadaan mod ‘standby’.

“Sekiranya penonton mengalami masalah penerimaan siaran selepas kerja-kerja penyusunan frekuensi ini, mereka perlu membuat penalaan semula dekoder atau IDTV bagi mendapatkan frekuensi baharu,” jelas kenyataan itu.

Penonton digalakkan membuat penalaan semula secara automatik dan sekiranya penalaan dibuat secara manual, pengguna boleh menyemak senarai frekuensi yang baharu di laman sesawang https://www.mytvbroadcasting.my/pdf/Lists-of-frequency.pdf.

Sebarang maklumat berkaitan dengan kerja-kerja ini akan dikemas kini melalui Facebook dan laman sesawang rasmi MYTV atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1800-18-1088.

— BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.