Siakap Keli

Palestin batal perjanjian Oslo 1995

RAMALLAH, 31 Jan — Palestin pada Khamis membatalkan Perjanjian Oslo 1995 yang ditandatangani bersama dengan Israel, lapor agensi berita Anadolu.

“Israel sudah pun dimaklumkan bahawa pihak berkuasa Palestin tidak lagi akan mematuhi perjanjian antara mereka,” kata Menteri Hal Ehwal Awam Pihak Berkuasa Palestin, Hussein al-Sheikh, dalam temu ramah dengan stesen televisyen Al-Jazeera.

Hussein juga menyuarakan harapan negara Arab dan Islam akan menjadi kuasa yang menyokong pendirian Palestin itu.

Atas permintaan Palestin, Liga Arab akan mengadakan mesyuarat tergempar peringkat menteri pada 1 Feb bagi membincangkan apa yang digelar pelan damai.

Pada Selasa, Presiden Donald Trump mengumumkan pelan yang digembar-gemburkan bagi menamatkan perseteruan Israel-Palestin, ketika sidang akhbar di Rumah Putih bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Bagaimanapun, tiada wakil Palestin ketika pengumuman berkenaan dibuat, yang menyaksikan Trump merujuk Baitulmaqdis sebagai ibu negara tunggal Israel.

Apa yang dianggap Trump sebagai pelan damai itu, secara sepihak membatalkan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini, mengenai isu Palestin dan mencetuskan kritikan keras masyarakat antarabangsa kerana memberikan hampir segala-galanya kepada Israel.

Menerusi Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin, Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu Kawasan A, B dan C.

Menerusi perjanjian itu, Israel menghalang penduduk Palestin mendirikan binaan di kawasan C Tebing Barat, wilayah yang tertakluk di bawah pentadbiran dan kawalan keselamatan Israel.

Kawasan C kini menempatkan 300,000 penduduk Palestin, sebahagian besar terdiri suku badwi dan komuniti penternakan yang majoritinya tinggal di dalam khemah, karavan dan gua.

Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah yang diduduki dan semua aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di kawasan itu sebagai tindakan haram.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right