Siakap Keli
Gambar: Info Roadblock JPJ/POLIS

Polis Kesan Lelaki Warga Indonesia Samun Kedai Runcit

BAGAN SERAI, 31 Jan (Bernama) — Polis sedang mengesan seorang lelaki yang didakwa terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai runcit berhampiran Pasar Awam Bagan Serai, di sini, selepas video mencuri itu tular dalam media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata hasil siasatan berdasarkan video itu, pihaknya percaya lelaki berkenaan adalah warga Indonesia telah memasuki kedai runcit berkenaan seorang diri pada pukul 7.06 pagi.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang berumur 66 tahun berada seorang diri di dalam kedai dan sedang bersiap untuk memulakan perniagaan.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu, suspek memakai penutup muka dan topi besbol telah menyerang mangsa dari arah belakang dengan meletakkan pisau di leher.

“Mangsa cuba untuk melawan tetapi tidak berjaya dan suspek membuka laci kaunter serta mengambil wang RM400. Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, tiada saksi ketika kejadian namun usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan sekiranya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa