Siakap Keli
Gambar: Koperasi Ladang - Operasi Dron

Teknologi Dron Bantu Pesawah Di Bendang

SUNGAI BESAR, 31 Jan (Bernama) — Seiring dengan perkembangan teknologi dan hasrat meningkatkan hasil tanaman padi, pesawah berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar kini beralih  menggunakan pesawat tanpa pemandu (dron) bagi menguruskan sawah.

Penggunaan dron itu dimulakan oleh peserta yang berdaftar di bawah Koperasi Wawasan Tani Bhd Simpang Lima yang ditubuhkan untuk menyelia dan menyediakan perkhidmatan dron di sawah dalam kawasan Sungai Besar.

Pengerusi koperasi Mohd Maksom Ramli berkata peralihan kepada kaedah pertanian yang lebih moden, praktikal dan dapat mengurangkan risiko kematian itu bermula sejak 2015.

“Risiko tinggi jika manusia bersentuhan secara langsung dengan racun. Ada beberapa petani kita yang meninggal dunia di bendang akibat terkena racun.

“Lebih berkesan sebab ketepatan aplikasi pada pokok itu tepat sebab kita guna cara elektronik, masa kita meracun menggunakan dron lebih cepat dan penggunaan racun pun kita guna dengan terperinci, ikut peraturan, tidak membazir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Maksom berkata pada peringkat awal, pesawah lain terutama yang lebih berusia memandang sinis akan usaha mereka, namun selepas beberapa ketika ia mula mendapat tempat di hati mereka.

Dengan penggunaan dron, kerja-kerja menyembur baja atau racun dapat dilakukan dengan pantas kerana satu dron boleh membawa 10 liter padu cecair yang dapat meliputi satu ekar sawah padi.

“Jadinya dalam sawah ini ada tiga ekar, maknanya tiga kali isi dan jumlah laluan dia 14 kali, jadi dapatlah racun itu sampai ke sasaran,” katanya.

Penggunaan dron juga membantu pesawah untuk meracun padi dengan lebih tepat kerana kipas dron akan membuka ruang-ruang di antara pokok padi supaya racun dapat sampai ke dasar.

Walaupun permintaan tinggi, namun hanya terdapat dua jenis dron yang sedang digunakan iaitu jenis DJI Agras MG1P dengan anggaran harga RM70,000 bagi setiap satu.

Bagi menampung kekurangan itu, koperasi bercadang untuk menambah 60 dron lagi untuk kegunaan pada masa akan datang.

Turut tertarik menggunakan perkhidmatan dron yang disediakan koperasi ialah pesawah Mohd Toif Ali, 62, yang mula menyewa dron untuk tanaman padi musim ini.

Beliau kagum selepas melihat demonstrasi yang dilakukan koperasi malah mengakui proses meracun akan lebih mudah dan berjalan dengan lebih cepat.

“…cepat, kalau kita pakai orang sehari paling kuat kalau seorang dua keping saja, yang ini boleh boleh sampai 6, 7 keping tanah. Lebih cepat dan boleh mengatasi masalah ulat,” jelasnya.

Mohd Toif menambah beliau menyewa perkhidmatan dron itu dengan bayaran RM60 bagi satu lot sawah padi dan berhasrat untuk menggunakan dron di kesemua 15 lot sawah padi yang dimilikinya.

Dalam pada itu, Sulaiman Chik, 65, yang juga bekas pengerusi koperasi berkata pesawah dapat menjimatkan kos sehingga 37 peratus.

“Katakan satu botol (baja atau racun) itu satu liter RM140 dan dia cuma nak pakai 100ml, RM14. Bila dia simpan (lebihan baja atau racun), kemungkinan dia lupa benda itu dia dah ada. Jadi di sini akan tingkatkan kos.

“Tapi kalau dia guna khidmat dron, dia cuma bayar berapa yang dia pakai saja. Kalau sekali semburan tu RM14, dia cuma bayar itu saja. RM14 dari RM140, jelasnya”

Sulaiman turut berkata, penggunaan dron dapat menggalakkan belia untuk pulang ke kampung dan seterusnya menjadi pelapis dalam bidang pertanian.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Azulita Salim berkata LPP sangat menitik beratkan penggunaan teknologi terutamanya dalam kalangan pesawah.

“Penggunaan teknologi menjadikan pertanian lebih mudah, meningkatkan kecekapan dan seterusnya dapat meningkatkan hasil,” katanya.

Malah tambahnya penggunaan teknologi menjadikan bidang pertanian bukan lagi pekerjaan yang dikategorikan sebagai 3D (“Dirty, Danger & Difficult”).

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right