Siakap Keli

(Video) Tragedi Dua Beranak Rentung, Kereta Terbabas Lalu Terbakar

Kepala Batas : Seorang lelaki dan anak perempuannya berusia tiga tahun rentung selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan lalu terbakar dalam nahas di Kilometer 119, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar Bertam, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mereka yang rentung dikenal pasti sebagai Yeap Boon Kwan, 23, iaitu pemandu dan anak perempuannya Yeap Jing Xuan, tiga tahun yang berada di tempat penumpang tengah dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berkenaan.

“Pihak polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.58 pagi memaklumkan sebuah kenderaan  terbabas sebelum terbakar dan selepas pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran mendapati terdapat dua mangsa dalam keadaan rentung dalam kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya seorang lagi penumpang hadapan kereta, isteri kepada pemandu kereta itu tahun berjaya menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki tiga beranak tersebut terbakar namun wanita berusia 29 tahun berkenaan mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki tiga sekeluarga itu dalam perjalanan dari Sungai Dua, Butterworth menghala ke Sungai Petani, Kedah sebelum pemandunya hilang kawalan sehingga menyebabkan terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan lalu terbakar.

Noorzainy berkata mayat dua beranak mangsa kemalangan itu dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat manakala wanita yang cedera berkenaan turut menerima rawatan di hospital sama sebagai pesakit luar.

Katanya kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu agar menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-5741427 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Jabatan Perubatan Forensik HKB mendapati suasana pilu menyelubungi kawasan berkenaan apabila isteri pemandu MPV itu menangis teresak-esak dan enggan bercakap dengan sesiapa termasuk pihak media.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.