Siakap Keli
Kredit: Google

10 Termasuk Suami Isteri Ditahan Bersama Dadah RM332,106

BUKIT MERTAJAM, 3 Feb (Bernama) — Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif menjalankan kegiatan mereka di sekitar Kedah dan Pulau Pinang dengan penahanan 10 orang termasuk sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 10,439 gram (g) dan 400 biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM332,106.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah bilik di tingkat atas sebuah restoran di Taman Tenang di sini, pukul 9 malam Jumaat dan menahan dua lelaki berusia 34, dan 36 tahun serta merampas tiga paket syabu.

“Susulan penahanan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di tepi jalan berhadapan sebuah hotel di Bukit Mertajam pada 12.30 tengah malam Sabtu (1 Feb) dan merampas sejumlah syabu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun di hadapan sebuah stesen minyak di Air Merah, Kulim pada 1 pagi Sabtu dan turut merampas dadah bersamanya sebelum menyerbu sebuah bengkel di Kampung Sungai Ular, Kulim dekat sini, yang dijadikan tempat pembukusan semula dadah sebelum diedarkan.

Katanya pada serbuan di bengkel tersebut, polis menahan lima orang termasuk sepasang suami isteri yang kesemua mereka berusia 27 hingga 33 tahun, dan merampas lima bungkusan syabu serta lima bungkusan heroin.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Bekalan dipercayai dari luar negara

Nik Ros Azhan berkata polis turut menahan seorang lagi lelaki berumur 38 tahun di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Ular dan pemeriksaan dalam bonet kereta jenis Honda dipandu suspek, menemui pelbagai jenis dadah antaranya bungkusan plastik yang mengandungi syabu, pil eramin 5 dan 15 bungkus heroin.

“Susulan lima serbuan itu, polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif menjalankan kegiatan tersebut di sekitar Pulau Pinang dan Kedah sejak beberapa bulan lepas. Mereka di percayai mendapatkan bekalan daripada sindiket di luar negara, sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada pelanggan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata keseluruhannya polis merampas 9,090g heroin, syabu (2,348.49g) dan pil eramin 5 (400 biji) yang kesemuanya bernilai RM332,106.

Katanya, polis juga menyita wang tunai RM30,900, tujuh buah kereta, dua buah motosikal dan sebuah kembalik (kenderaan kren menarik jentera berat) daripada mereka yang ditahan, yang kesemuanya bernilai RM254,100.

“Sembilan lelaki yang ditahan berkenaan positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod jenayah serta dadah. Semua mereka kini direman selama tujuh hari, bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.