Siakap Keli

H5N1: Tiada Haiwan Hidup Dan Produk Diimport Dari Shaoyang

PUTRAJAYA, 3 Feb – Malaysia tidak mengimport haiwan hidup dan produk dari kawasan Shaoyang di wilayah Hunan, China, yang dilaporkan berlakunya wabak selsema burung H5N1, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia mengimport keratan ayam dari loji pemprosesan ayam di Liaocheng, Shangdong, yang terletak kira-kira 1,313 km dari tempat kejadian.

Berdasarkan laporan media, China melaporkan penularan H5N1 di sebuah ladang ternakan di bandar Shaoyang, dengan kira-kira 4,500 daripada 7,859 ayam yang diternak di ladang itu dilaporkan mati akibat jangkitan virus itu.

Menurut Quaza Nizamuddin, pihak berkuasa China telah mengambil tindakan untuk mengawal penyakit berkenaan susulan laporan kes H5N1 itu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga sentiasa mengambil sampel keratan ayam yang dibawa masuk untuk diuji bagi penyakit H5N1, katanya.

“Setakat ini tiada sampel yang positif,” katanya.

Langkah berjaga-jaga juga akan ditingkatkan dan sampel akan diambil daripada setiap kosainmen untuk diuji, katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memantau keadaan dan berhubung dengan World Animal Health Organisation (OIE) untuk mengetahui status kedudukan sebenar dari semasa ke semasa.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)