Siakap Keli

Rakyat Thailand Yang Dibawa Keluar Dari Wuhan Akan Dikuarantin Di Chon Buri

BANGKOK, 3 Feb (Bernama) — Semua rakyat Thailand yang dibawa keluar esok dari Wuhan, pusat penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), akan diperiksa dan dikuarantin di sebuah pangkalan tentera laut di Chon Buri selama 14 hari sebelum dibenarkan kembali ke rumah masing-masing.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand Prachachart Sirisawat berkata lima bangunan di pangkalan itu yang terletak di daerah Sattahip akan digunakan sebagai kemudahan kuarantin.

“Sebuah pusat perintah akan ditubuhkan di Hospital Abhakornkiatiwong di pangkalan itu bagi memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata penerbangan AirAsia Thailand yang membawa keluar mangsa akan mendarat di Lapangan Terbang U-Tapao dan mereka akan dibawa ke kemudahan kuarantin, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari lapangan terbang itu.

Media tempatan melaporkan bahawa penerbangan AirAsia Thailand dijangka berlepas ke Wuhan esok dan tiba semula di Lapangan Terbang U-Tapao pada pukul 3.35 petang (waktu tempatan).

Bagaimanapun, penerbangan pulang mungkin mengalami kelewatan susulan proses saringan.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul akan berlepas ke Wuhan bersama-sama pasukan perubatan bagi mengawasi proses membawa keluar mangsa.

Mereka akan memakai pakaian pelindung penyakit.

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha menggesa orang ramai agar bertenang dan tidak panik.

“Sesetengah pihak cuba menggunakan (penularan) koronavirus untuk menyerang saya,” katanya.

Ketika ini, terdapat sebanyak 19 kes 2019-nCoV yang telah disahkan di Thailand, termasuk dua penduduk tempatan.

Lapan pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.