Siakap Keli

Semua Penerbangan Terus Dari China Ke Langkawi Digantung Buat Sementara Waktu

Terkini, penerbangan komersial terus dari China ke Pulau Langkawi akan digantung buat sementara waktu susulan daripada penularan wabak novel koronavirus.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah menerusi satu muatan yang dimuat naik di akau Facebooknya menyatakan bahawa syarikat penerbangan yang terlibat telah menggantung perkhidmatan penerbangan terus dari China ke Pulau Langkawi buat sementara waktu.

Walau bagaimanapun, saringan kesihatan akan tetap diteruskan di balai ketibaan bagi mengesan penumpang yang mempunyai simptom dijangkiti virus tersebut.

“Sebarang kes yang disyaki 2019-nCoV akan dinotifikasi kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan dan dirujuk kepada hospital KKM yang telah dikenalpasti.

“Bagi yang tidak bergejala, mereka akan dibekalkan dengan ‘Health Alert Card’ sebelum meneruskan perjalanan”, ujarnya.

Selain daripada itu, aktiviti disinfeksi di pintu masuk antarabangsa juga turut dilakukan dan dipantau oleh pasukan kesihatan bagi mencegah virus ini daripada tersebar.

Dalam pada itu, beliau juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan termasuk staf pembersihan yang bersiap sedia melaksanakan tugas walaupun seringkali tidak jelas di mata masyarakat umum.

Beliau juga turut menyeru kepada semua pihak untuk memberi kerjasama kepada pihak kesihatan dan agensi yang terlibat bagi memastikan kesihatan awam dan keselamatan negara terpelihara.

Sumber: Noor Hisham Abdullah

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.