Siakap Keli

Budak Positif Koronavirus Dirawat Di Langkawi Sudah Sihat, Kes Pertama Berjaya Dipulihkan Di Malaysia

Seorang kanak-kanak perempuan warga China yang disahkan positif dijangkiti koronavirus dan dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi telah dibenarkan pulang.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hasil ujian pengesanan yang dilakukan ke atasnya mendapati bahawa kanak-kanak itu telah dilaporkan bebas daripada jangkitan virus maut tersebut.

“Dalam tempoh rawatan dan pemantauan ini, sampel klinikal telah diambil semula sebanyak dua kali berturut-turut.

“Hasil ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya, telah didapati negatif. Beliau kini berada dalam keadaan sihat dan telah dibenarkan pulang,” lapor KKM dalam kenyataan media tersebut.

Menurut KKM, tanggapan ramai berkenaan penyakit ini pastinya membawa maut kepada sesiapa yang dijangkiti adalah tidak tepat kerana penyakit ini sebenarnya boleh dirawat.

“Kes ini menunjukkan bahawa jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di negara China,” ujar KKM dalam satu siaran media yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasminya.

KKM juga turut menzahirkan ucapan tahniah kepada warga Hospital Sultanah Maliha Langkawi atas rawatan serta pemantauan yang rapi sehingga kanak-kanak tersebut sihat dan dibenarkan pulang.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.