Siakap Keli
Gambar: Astro Awani

SUHAKAM Pandang Serius Kes OKU Dijatuhi Hukuman Penjara Kerana Cuba Bunuh Diri

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan berkenaan dengan sabitan serta hukuman yang dikenakan terhadap seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang cuba membunuh diri di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Difahamkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu telah dijatuhi hukuman penjara 6 bulan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, SUHAKAM menyatakan bahawa penahanan serta pendakwaan terhadap lelaki tersebut tidak sepatutnya dilakukan.

“Tindakan membunuh diri merupakan pilihan terakhir bagi mereka yang mengalami tekanan emosi dan merasa bahawa mereka tidak mempungai pilihan.

“Mereka yang terselamat dari cubaan membunuh diri harus diberikan sokongan dan pemulihan yang diperlukan daripada dilayan seperti penjenayah,” tulis kenyataan itu.

SUHAKAM juga turut menyeru agar Peguam Negara mengkaji semula kes ini dan meminta kes ini untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi agar sabitan tersebut diubah.

“Sejak tahun 2019, kerajaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang menunjukkan niat untuk memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah dengan membuatĀ  pindaan kepada Seksyen 305, 306 dan 309 Kanun Keseksaan.”

SUHAKAM juga menyeru kepada Majlis Peguam Malaysia agar kes yang melibatkan cubaan membunuh diri diberikan moratorium sehingga Kanun Keseksaan dipinda sebagaimana yang dilaksanakan terhadap hukuman mati mandatori.

Sumber: SUHAKAM

Aqmal Ezany

I write what is right