Siakap Keli
Gambar via Scroll.in

Tiada Sekatan Bagi Pemain Badminton China Sertai Kejohanan Antarabangsa – BWF

Tiada sekatan dikenakan terhadap pegawai dan pemain badminton dari China daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa mahupun kejohanan para, walaupun dengan penularan wabak 2019 novel korona di negara berkenaan ketika ini.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan berkata pemain badminton China bebas untuk menyertai mana-mana acara, dan pihaknya percaya pihak tuan rumah akan memberikan bantuan penuh dan melayan para atlet dari Persatuan-persatuan Anggota (MAs) dengan saksama.

BWF sedar ada sejumlah negara mengenakan sekatan terhadap kehadiran warga China dan juga warga luar yang pernah melawat negara itu sejak 14 hari sebelumnya, menurut kenyataan itu.

“Kita telah meminta semua MAs dan tuan rumah untuk menghubungi pihak berkuasa kesihatan nasional bagi memaklumkan kehadiran pemain antarabangsa ke negara masing-masing dan mendapatkan nasihat mengenai langkah-langkah pembanterasan serta tindakan yang perlu sekiranya berlaku insiden berkaitan jangkitan itu.

“Kita juga memperakui setiap pihak berkuasa kesihatan negara MAs akan mempunyai peraturan dan prosedur sendiri yang berbeza antara kawasan,” menurut kenyataan itu.

Disebabkan keadaan yang berubah dengan pantas, BWF bekerjasama rapat dengan pemegang taruh utama seperti Chinese Badminton Association (CBA), semua MAs serta tuan rumah kejohanan, dan juga International Olympic Committee (IOC) serta International Paralympic Committee (IPC) bagi menyelaras langkah-langkah serantau dan global mengenainya.

Sementara itu BWF berkata semua konvensyen kejohanan dan etika masih diteruskan di kejohanan-kejohanan seperti biasa seperti melambung syiling, berjabat salam dan upacara penganugerahan pingat.

“BWF sedang menimbang semua risiko kesihatan, keselamatan serta logistik, dan akan terus mengemas kini komuniti badminton keseluruhan berhubung sebarang perkembangan baharu yang berkaitan dengan koronavirus,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Nur Farra