Seorang doktor di China telah dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas terpaksa dikerahkan bertugas selama 10 hari berturut-turut dalam usaha melawan virus maut yang sedang teruk menyerang negara China.
Menurut Daily Mail, Song Yingjie, 27, merupakan seorang ketua paramedik di sebuah klinik di wilayah Hunan yang terletak di sempadan Hubei iaitu tempat dimana wabak tersebut dilaporkan menular.
Dia telah ditugaskan untuk memeriksa suhu badan pemandu serta penumpang dalam setiap kenderaan yang melalui sempadan itu dan dilaporkan telah kerja tanpa henti sejak 25 januari, lapor pihak berkuasa.
Difahamkan, doktor tersebut dilaporkan meninggal dunia pada awal pagi Isnin di bilik asramanya.
Kakak kepada doktor tersebut kini dilaporkan sedang terperangkap di Wuhan yang telah dikuarantin selama hampir dua minggu.
Menurut kakaknya itu, dia berasa sungguh bersalah kerana tidak meninggalkan bandar Wuhan sebelum bandar itu dikuarantin dan datang membantu adiknya ketika dia memerlukan.
Dia turut menggambarkan bahawa adiknya itu adalah seorang yang sangat bagus serta bijaksana dan menyatakan bahawa dia tidak percaya bahawa adiknya itu telah meninggal dunia.
‘Dia selalu tolong buat kerja-kerja rumah dan merupakan seorang pekerja yang bagus kata bosnya,’ ujar kakaknya itu kepada The Paper.
‘Berita kematiannya sangat-sangat menghancurkan hati keluarga kami,’ tambahnya.
Pihak berkuasa tempatan menyatakan bahawa mereka kini sedang giat membantu keluarga Song berkenaan dengan kejadian yang terjadi ini.
Angka kematian akibat daripada wabak ini terus dilaporkan meningkat di China dengan Hong Kong mencatatkan mangsa pertama yang maut akibat virus tersebut.
Wabak yang didakwa boleh tersebar melalui air liur itu kini telah membunuh lebih 500 nyawa dan telah menjangkiti lebih 24,000 orang di seluruh dunia.
Sumber: Daily Mail