Siakap Keli

“Saya Berasa Kurang Senang, Mereka Tidak Tahu Menilai Kesusahan Nelayan”

KUALA PERLIS, 6 Feb – Md Suzari Md Suaain dan isterinya Nor Kartini Othman jarang sekali membeli ikan di pasar, sebaliknya pasangan penjawat awam ini memilih untuk menjadi ‘nelayan sambilan’, dan turun sendiri ke tengah laut bagi mendapatkan bekalan hasil laut yang enak lagi segar, sejak lebih 10 tahun lepas.

Md Suzari, 51, yang bertugas sebagai Pembantu Awam Unit Operasi dan Penguatkuasa di Jabatan Perhutanan Perlis berkata beliau memulakan aktiviti itu sebagai hobi, namun apabila terbiasa, ia menjadi satu kepuasan bagi mereka berdua.

Katanya beliau biasanya turun ke laut setiap dua kali seminggu untuk mendapatkan stok makanan laut, bukan untuk dijual, tapi untuk dinikmati bersama keluarga, dan dengan memiliki lesen sebagai pelaut yang diiktiraf Jabatan Laut Malaysia, beliau layak melakukan aktiviti-aktiviti laut seperti mencandat sotong yang gemar dilakukannya di perairan Pulau Langkawi dan Kuala Perlis.

“Sebagai penjawat awam, masa tidak mengizinkan saya untuk kerap turun ke laut, jadi saya cari masa untuk aktiviti ini pada hujung minggu agar stok bekalan makanan laut segar tidak terputus,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pesta Suluh Sotong Perlis 2020 di Tok Kuning di sini, baru-baru ini.

“Saya bukan dari keluarga nelayan, tetapi melihat orang ramai merungut apabila harga pasaran ikan, udang, sotong yang tinggi berikutan cuaca tidak menentu dan sebagainya, saya berasa kurang senang dan beranggapan mereka tidak tahu menilai kesusahan nelayan mendapatkan hasil laut,” tambahnya.

Md Suzari mengakui bukan mudah mahu mendapatkan seekor ikan besar di laut seperti jenahak, kerapu dan siakap kerana semuanya memerlukan kesabaran yang tinggi selain perlu menghadapi risiko cuaca buruk di tengah lautan.

“Saya mempelajari sendiri selok-belok di laut apabila gemar bergaul bersama nelayan selain aktif memancing bersama rakan-rakan kelab memancing,” kata beliau yang juga adalah Timbalan Pengerusi Kelab Memancing dan Reakrasi Negeri Perlis.

Katanya pada 2016 beliau memiliki bot persendirian, namun ia kemudiannnya dijual kerana menurutnya beliau tidak mempunyai masa untuk menjaga serta mengurus bot akibat kekangan kerja, namun menurutnya beliau bernasib baik kerana bapa saudara, Musa Nayan, 64 yang memiliki bot persendirian, sering mengajaknya bersama untuk aktiviti di laut.

Nor Kartini, 47, pula merupakan seorang pembantu pengurusan murid di Sekolah Kebangsaan Kuala Perlis, dan beliau mula aktif mengikut suaminya ke laut sejak lima tahun lepas.

“Saya lebih suka mencandat sotong kerana ia tidaklah mencabar seperti memancing. Paling mengujakan adalah apabila sotong hidup yang berjaya dicandat akan dimasak terus atas bot, katanya yang mengakui tidak pernah membeli sotong di pasaran sejak mula aktif mencandat sotong hidup yang segar dari laut.

Nor Kartini berkata beliau bersama suami dan tiga anaknya sangat menggemari sotong berbanding makanan laut yang lain, justeru kegiatan mencandat sotong menjadi aktiviti utama mereka.

“Paling banyak kami berjaya candat 50 kilogram sotong dalam masa beberapa jam bermula dari pukul 11 malam hingga 5.00 pagi, tidak termasuk akyiviti menjala,” katanya.

Katanya beliau sering sering mendapat permintaan rakan-rakan untuk membeli sotong yang dicandat, namun beliau sentiasa menolaknya kerana biasanya ia akan dimasak untuk dimakan sendiri bersama keluarga di rumah, dan adakalanya ia dimasak untuk dikongsi bersama teman di tempat kerja.

Merujuk kepada pembabitan mereka dalam pesta yang berkaitan dengan aktiviti laut di sini, Nor Kartini berkata mereka menjuarai tempat pertama dalam pesta candat sotong 2018.

“Suami saya pernah menjuarai anugerah tekong terbaik manakala saya pula memenangi tempat pertama wanita candat sotong terbanyak,” katanya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)