Siakap Keli

Koronavirus: Tiada Cadangan Nak Sekat Kapal Persiaran Masuk Malaysia – Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Kementerian Pengangkutan belum berhasrat menyekat kemasukan kapal persiaran yang berlabuh di negara ini berikutan penularan Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan sekatan itu hanya akan dibuat selepas mendapat saranan daripada Kementerian Kesihatan berdasarkan bukti tertentu.

“Kita hanya sekat kepada warganegara China dari wilayah Hubei atau pun mana-mana wilayah yang diisytiharkan oleh kerajaan China sebagai sekatan pergerakan keluar masuk (lock down).’

“Kalau ada mana-mana wilayah yang telah diisytiharkan ada curfew atau lockdown oleh kerajaan China, maka kita akan menyekat kemasukan warganegara China daripada wilayah tersebut,” katanya selepas merasmikan Perkhidmatan Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap mengambil semua langkah pencegahan termasuk memeriksa suhu badan dan tahap kesihatan pelancong di pintu masuk negara.

Sementara itu, Loke dalam ucapannya berkata kementerian itu bersetuju meluluskan pelaksanaan perkhidmatan pembaharuan LKM di Puspakom yang akan memberikan nilai tambah khususnya kepada pelanggan Puspakom dan orang awam secara amnya.

“Ini adalah satu pendekatan kerajaan untuk memudahkan orang awam dalam segala urusan berkaitan perkhidmatan Kerajaan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Perkhidmatan tambahan yang tersedia di Puspakom ini akan memudahkan lagi pemilik dan pengendali kenderaan dalam urusan pembaharuan LKM kerana mereka mempunyai lebih banyak akses,” katanya.

Tegasnya, Puspakom dilantik sebagai Ejen Pemungut Hasil Kerajaan dalam mengendalikan urusan pembaharuan LKM di 54 pusat pemeriksaan seluruh negara secara berperingkat.

Jelas Loke, inisiatif itu bermula dengan LKM untuk kenderaan perdagangan ringan had Berat Dan Muatan (BDM) bawah 7,500 kilogram dan dijangka diperluaskan kepada kenderaan lain dari semasa ke semasa.

Selain pemeriksaan kenderaan, Puspakom juga menawarkan perkhidmatan pembaharuan insurans sejak 2018 yang mana konsep pusat perkhidmatan setempat (one stop centre) akan memudahkan orang ramai dalam urusan berkaitan pemilikan kenderaan.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)