Siakap Keli

Suspek Lepas Kira-Kira Lima Das Tembakan Dalam Kes Di Pulau Gaya

KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) — Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata suspek telah melepaskan kira-kira lima hingga enam das tembakan menggunakan senapang laras panjang dalam insiden yang menyebabkan tiga orang, termasuk dua kanak-kanak, cedera di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek seorang lelaki berusia 30-an yang menaiki bot pam dipercayai melepaskan tembakan ke arah jambatan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

“Beberapa saksi kejadian mengatakan suspek dari arah bot melepaskan lima hingga enam das tembakan dipercayai menggunakan senapang laras panjang. Namun kita tidak dapat pastikan jenis senapang yang digunakan oleh suspek,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini.

Habibi berkata pihaknya sedang mengesan suspek terbabit yang mana dipercayai masih bersembunyi di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya.

Katanya sejak semalam selepas kejadian itu, polis terutama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan risikan dan pemantaun di lokasi kejadian bagi mengesan suspek terbabit sekali gus mengelak suspek daripada melarikan diri.

“Dengan elemen-elemen berkenaan, saya harap dalam tempoh terdekat ini kita dapat kesan dan berkas suspek terbabit,” katanya.

Habibi juga berkata pihaknya masih menyiasat punca kejadian itu dan ia mungkin bukan tembakan rambang.

“Mungkin ada motif lain yang kita masih belum pasti di antara mangsa dan suspek,” katanya.

Dalam kejadian semalam, seorang lelaki dan dua kanak-kanak berusia 10 dan tiga tahun parah selepas terkena tembakan yang disyaki dilepaskan seorang lelaki tidak dikenali di atas jambatan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.