Siakap Keli

(Video) Koronavirus: Singapura Naikan Tahap DORSCON Dari Kuning Ke Jingga, Arah Sekolah Hentikan Aktiviti Luar

Berikutan beberapa kes koronavirus membabitkan mangsa yang tidak mempunyai sejarah berkunjung ke China, Singapura pada Jumaat dilaporkan telah menaikan tahap amaran Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) dari Kuning ke Jingga.

Menurut Channel News Asia (CNA), semua sekolah juga diarah membatalkan aktiviti luar sehingga cuti hujung Mac ini. Ini termasuklah aktiviti sukan sekolah, lawatan sambil belajar dan juga aktiviti perkhemahan.

Malah, semua guru dan pentadbir sekolah juga diarahkan melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang disediakan sebelum ini termasuklah melakukan perhimpunan dalam kelas.

”Kami memahami kebimbangan warga Singapura memandangkan tidak banyak yang kita tahu tentang penyakit ini.

”Maklumat terkini kita dapat setiap hari dan ia memerlukan masa untuk kita semua faham, mungkin hingga berbulan namun aktiviti harian tidak boleh berhenti.

”Kita semua perlu mengambil langkah-langkah yang diperlukan demi meneruskan hidup. Kami berjanji akan melakukan yang terbaik demi melindungi warga Singapura,” kata Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong.

Singapura mengendalikan kes koronavirus ini berpandukan DORSCON dengan setiap tahap diwakili kod berwana iaitu Hijau, Kuning, Jingga dan Merah. Kod warna berkenaan juga menentukan sesuatu tindakan semasa yang perlu dilaksanakan bagi mengurang dan menghalang penyakit dari merebak.

DORSCON Jingga bermaksud penyakit dianggap teruk dan mudah merebak dari manusia ke manusia, tetapi tidak meluas dan sedang dibendung.

”Ini bukanlah kali pertama kami mengubah tahap DORSCON kepada Jingga. Sebelum ini, kami turut melakukan perkara yang sama ketika berhadapan dengan H1N1.” katanya lagi.

 

Sumber: CNA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.