Siakap Keli

Amal Salam Letak Tangan Di Dada Elak Jangkitan Koronavirus – Dr Lee Boon Chye

IPOH, 8 Feb – Orang ramai disaran mengelakkan bersalaman secara sentuhan dan sebaliknya mengamalkan ‘salam cara Malaysia’ iaitu meletakkan tangan di dada sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, cara berkenaan perlu diberi perhatian berikutan virus itu boleh berjangkit melalui sentuhan dan tidak melalui udara.

“Apabila berada berhampiran pesakit yang batuk, dalam jarak 0.9 meter kemungkinan cecair itu boleh membawa jangkitan dan kuman.

“Virus pada cecair batuk yang terkena pada permukaan seperti meja, lif dan sebagainya boleh bertahan dalam tempoh beberapa jam dan ada kemungkinan orang lain akan mendapat jangkitan penyakit apabila tersentuh kawasan itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, di sini, hari ini.

Dr Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan penjagaan kesihatan dengan kerap membasuh tangan bagi mengelakkan penyakit itu daripada terus merebak.

Sementara itu, katanya, kerajaan tidak bercadang untuk menghalang rakyat negara ini untuk mengunjungi Singapura buat masa kini kerana pihaknya percaya negara jiran tersebut mampu mengawal kluster jangkitan koronavirus.

“Kita harap kluster jangkitan itu boleh dikawal…sekiranya jangkitan yang terdapat di Singapura tidak dapat dikawal, ini bermakna risiko jangkitan dalam komuniti di Malaysia adalah tinggi,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan tiga lagi kes positif jangkitan koronavirus di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 33 kes.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)