Siakap Keli

Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Tangkap Ikan

KLUANG, 9 Feb – Seorang lelaki warga tempatan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika menangkap ikan di Sungai Kampung Palembang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata mayat mangsa R G Rajandran, 31, ditemui orang awam kira-kira 3 petang.

“Mangsa dikatakan memasang sendiri generator dan wayar arus elektrik untuk menangkap ikan di sungai berkenaan, sebelum terkena renjatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Abduh berkata mayat mangsa yang bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran kemudian dihantar ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang untuk dibedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, PBK II Affendi Mustafa berkata pihaknya terpaksa menggunakan alat ‘iron grappling’ dan strecer untuk mengeluarkan mangsa dari sungai berkenaan.

“Kita terpaksa menggunakan peralatan terbabit kerana khuatir masih terdapat arus elektrik di badan mangsa dan juga di sungai tempat mangsa menjerat ikan. Operasi melibatkan seramai enam anggota dan sebuah jentera,” katanya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang