Siakap Keli
Gambar: Google

Pelawak Terkenal, Abam Bocey Meninggal Dunia

Selebriti dan pelawak terkenal, Abam Bocey disahkan meninggal dunia sebentar tadi.

Pemergian Allahyarham Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan, 32, disedari isterinya Siti Norhidayah Mohd Ali semasa mahu mengejutkan suaminya itu bagi menunaikan solat Subuh.

“Allahyarham sebelum ini ada mengadu sakit kepala selain turut mengalami demam selama dua hari.

“Namun pagi tadi ketika mahu mengejutkannya solat Subuh, beliau tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Allahyarham meninggalkan isteri dan seorang bayi lelaki berusia lima bulan iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Berita pemergian Abam turut dikongsikan sahabatnya, Fad Bocey melalui laman Instagram beliau.

Allahhuakbar,Allahhuakbar,Allahhuakbar,innalillahiwainnailaihirojiun..kenapa kau pergi dulu bam? Kenapa tak tunggu aku, aku jauh ni, aku nak peluk cium kauuuuuuuuu,” luah Fad yang sedang berada di Jepun bersama keluarganya.

Berita duka ini mengejutkan para peminat dan rakan artis yang turut bersedih atas pemergian beliau.

Jenazah akan dimandikan di rumahnya di Gombak sebelum disolatkan selepas solat Asar di Masjid Gombak Utara, lapor Bernama.

Takziah buat keluarga dan sahabat beliau. Semoga Allah tempatkan roh Abam dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh serta memberi kekuatan buat ahli keluarga.

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan maafkan kesalahannya.

Sumber: Fad Bocey, Bernama

Amira

Love yourself.