Siakap Keli

(Video)“Mak Macam Mana Ni…” Ali Puteh Kongsi Abam Sempat Mengadu Sakit Pada Emak

Pemergian pelawak terkenal Malaysia Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan (Abam Bocey) pada hari ini merupakan satu tamparan hebat pada industri hiburan tanah air apabila kehilangan seorang permata komedi yang berbakat.

Pemergian Abam pastinya memberi kesan kepada industri lawak yang sedang membangun di negara kita pada hari ini kerana kekurangan seorang lagi pelawak yang berbakat. Dan pemergian Allahyarham juga sudah pasti akan memberi kesan ke atas ahli keluarganya.

Dalam temu ramah yang disiarkan oleh Malaysia Gazette terhadap adik kandung Allahyarham iaitu Ali Puteh menerusi lintas langsung di Facebook mereka. Beliau mendapat tahu berita sedih tersebut selepas isteri Allahyarham menghubunginya pada pukul 7.50 pagi tadi.

Menurutnya, isteri Allahyarham memberitahu kepadanya bahawa Abam berada dalam keadaan pengsan di dalam biliknya dan menyuruh agar Ali segera datang ke rumahnya.

“Bila saya masuk ke dalam rumahnya, saya tengok dia dah terkaku terbaring di atas katil. Mungkin dia tidur kot, saya cakap. Namun apabila saya pegang kakinya, saya rasa sejuk di kaki dia dan kuku dia pun dah lebam-lebam. Dan bila saya goyangkan badannya, dia tidak menyahut.

“Saya pegang kepalanya dan goncang-goncang kepalanya lalu saya cakap ‘Abam bangun, ni angah datang dengan mak ni, kau kenapa macam ni?”

Walau bagaimanapun, dia masih tidak menyahut panggilan Ali itu. Pada ketika itu, Ali sedar bahawa abangnya itu telah pergi meninggalkannya namun cuba untuk menidakkan perasaan itu. Dan apabila abangnya itu tetap tidak menyahut, Ali bertindak merapatkan mukanya dengan Arwah dan redha di atas pemergian abangnya yang tersayang itu.

Tambahnya lagi, dia sungguh tidak menyangkakan pemergian abangnya itu kerana menurutnya, abangnya itu tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan.

“Memang tak sangka sebab dia takde sakit apa-apa, cuma dia kata dalam 2 hari ni dia ada demam sikit. Tapi malam tadi dia masih ada menelefon dengan mak saya. Dia kata ‘mak macam mana? abam tak sihat ni, takpelah nanti abam makan ubat”.

Menurutnya, ibunya itu ingatkan bahawa abam hanya tidak sihat macam biasa sahaja. Namun tidak menyangka bahawa dia sebenarnya mahu pergi buat selamanya. Ali turut menyatakan bahawa dia sangat terkilan kerana tidak berkesempatan untuk berborak bersama abangnya itu buat kali terakhir.

Cuaca yang redup pada pengkebumian arwah Abam petang tadi bagaikan turut menangisi pemergian Allahyarham.

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan (Abam Bocey) dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Ikuti rakaman lintas langsung yang disiarkan Malaysia Gazette bagi mengikuti temu bual bersama Ali Puteh bermula dari minit 1:09:04 di bawah:

Sumber: Malaysia Gazette

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa