Siakap Keli

Kampung Angalur MESEJ pertama Musang King di Sabah

TENOM, 11 Feb  — Kawasan seluas 147 hektar di Kampung Angalur, Kemabong dekat sini akan dibangunkan sebagai Mini Estate Sejahtera (MESEJ) yang pertama di Sabah untuk penanaman durian Musang King, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata kerja-kerja awal pembersihan kawasan di skim baharu yang dikenali sebagai MESEJ Angalur Kemabong itu akan bermula April depan melibatkan 40 hektar bagi fasa pertama.

“Program ini merupakan MESEJ yang pertama sejak saya diberi mandat menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, dan yang pertama tidak melibatkan tanaman komoditi sawit dan getah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan tapak di Kampung Angalur dekat sini, semalam.

Ewon berkata selain durian Musang King sebagai tanaman utama, pihaknya juga bercadang untuk mempelbagaikan tanaman lain di kawasan itu seperti nanas.

Ahli Dewan Undangan Negeri  Kadamaian itu berkata beliau telah mengarahkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tenom dan dianggotai pihak-pihak berkepentingan untuk menyelaras pembangunan di MESEJ Angalur Kemabong.

Katanya, tugas jawatankuasa itu antara lain mengenal pasti keluasan tanah yang boleh ditanam dan memuktamadkan pemilihan peserta.

Ewon berkata kementerian pada dasarnya bersetuju untuk memberi keutamaan kepada penduduk Kampung Batu dan Kampung Angalur yang yang pernah mengusahakan kawasan tanah di kawasan itu sebagai peserta MESEJ itu.

KIni terdapat 25 MESEJ di negeri ini yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah.

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.