Siakap Keli
Gambar: AP

15 Pelarian Rohingya Maut, Ramai Masih Hilang Selepas Bot Dinaiki Terbalik Di Bangladesh

DHAKA, 12 Feb (Bernama) — Sekurang-kurangnya 15 pelarian Rohingya terbunuh selepas bot dinaiki terbalik di Teluk Bengal dekat tenggara sempadan Bangladesh dengan Myanmar, kata seorang pegawai pada Selasa.

Jurucakap Pengawal Pantai Bangladesh Leftenan Hayat Ibna Siddique berkata kepada Xinhua 15 mayat telah ditemui pada Selasa pagi, 71 orang diselamatkan dan jumlah mangsa yang hilang tidak dapat dipastikan.

Beliau berkata jumlah mangsa yang berjaya berenang ke darat juga tidak diketahui.

Katanya, bot itu terbalik di Teluk Bengal berhampiran Pulau St Martin ketika dalam perjalanan menuju ke Malaysia.

Bagaimanapun, masa sebenar kemalangan tidak dapat dipastikan, kemungkinan bot itu karam pada lewat Isnin atau awal Selasa.

Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian, anggota Pengawal Pantai Bangladesh bergegas ke lokasi kejadian, beberapa mayat ditemui terapung di Teluk Bengal berhampiran Pulau Shah Porir di daerah Teknaf di Cox’s Bazar, kira-kira 292 kilometer, tenggara ibu kota Dhaka.

Jumlah korban dijangka meningkat. Misi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan bantuan nelayan tempatan dan agensi berkaitan.

Katanya, bot malang itu berasal dari beberapa kem pelarian di Cox’s Bazar yang menjadi penempatan kepada kira-kira sejuta pelarian Rohingya.

Lebih 700,000 pelarian berlindung di kem Cox’s Bazar kerana melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.