Siakap Keli

Bimbang Boleh Sebabkan Jangkitan Covid-19, Pelajar Malaysia ‘Diusir’ Dari Rumah Sewa Di Australia

Seorang pelajar Malaysia yang baru pulang daripada melawat keluarganya di Malaysia telah diusir keluar dari rumah sewa oleh tuan rumah tersebut gara-gara takut dijangkiti koronavirus.

Difahamkan, pelajar tersebut telah menemui sehelai notis tunjuk sebab yang dilekatkan di pintu rumah sewanya yang terletak di Perth.

Pelajar itu menyatakan kepada ABC Perth bahawa dia telah balik ke Malaysia selama beberapa minggu untuk melawat keluarganya.

“Saya berasa keliru dan sangat sedih kerana saya tidak melakukan apa-apa pun…kenapa benda begini boleh terjadi kepada saya?”, ujarnya.

Tuan rumahnya itu bahkan telah menukar kunci dan melekatkan satu notis di pintu rumah tersebut yang menyatakan : “Amaran, dilarang ceroboh.

“Disebabkan anda tidak berhubung dengan saya selepas WHO mengisytiharkan darurat kesihatan global berikutan koronavirus, anda tidak lagi dialu-alukan di rumah ini,” tulis notis tersebut.

Menurut pelajar berkenaan, dia telah cuba untuk menghubungi tuan rumah tersebut, namun tidak berjaya. Kini dia dilaporkan terpaksa tinggal di rumah kawannya yang lain.

“Kami juga turut menghubungi pihak polis berkenaan perkara ini, namun polis menyatakan bahawa mereka juga tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Dia juga didakwa tidak boleh mengambil barang-barangnya yang ditinggalkan di dalam rumah tersebut.

“Saya tidak mahu kembali ke bilik saya itu untuk mengambil barang-barang saya kerana saya terlalu takut,” tambahnya.

Pelajar tersebut yang kini tinggal di rumah kawannya berharap agar tindakan undang-undang ke atas tuan rumah tersebut boleh diambil atas perbuatan tersebut yang dilakukan ke atasnya kerana takut dengan krisis koronavirus ini.

“Saya rasa mereka perlu buat sesuatu berkenaan perkara ini supaya ianya boleh dijadikan pengajaran untuk semua orang. Ini sangat tidak adil,” katanya.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa