Siakap Keli
Kredit: Google

Pembantu Rumah, Kekasih Didakwa Curi Wang RM89,345 Milik Majikan Warga Emas

KUANTAN, 12 Feb (Bernama) — Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan mencuri wang simpanan warga emas menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya menyebabkan kerugian berjumlah RM89,345.

Tertuduh Sabari Ashrat Mokhtar, 23, dan Farhana Abdul Mubin, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mereka didakwa mengeluarkan wang tunai milik Seripah Esah Syed Bakar, 69, dengan menggunakan dua kad ATM CIMB Bank miliknya di antara 27 Dis 2019 dengan 22 Jan lalu di mesin ATM sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Lembing dan sebuah kedai serbaneka di Taman Impian di sini.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi merayu mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya selepas Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat tidak menawarkan jaminan kerana bimbang mereka akan mengganggu mangsa.

“Tertuduh bersedia jika dikenakan syarat tambahan daripada mahkamah. Sabari Ashrat kini tidak bekerja selepas berhenti kerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan sebelum ini sebanyak RM2,000 yang digunakan untuk menanggung bapa dan adik-beradiknya.

“Bagi Farhana, dia sebelum ini bekerja sebagai pembantu rumah dan penjaga kepada mangsa dengan pendapatan RM500 sebulan dan perlu menjalani rawatan di hospital setiap bulan kerana difahamkan menghidap kanser kulit dan kekurangan darah merah,” katanya.

Siti Aminah membenarkan jaminan RM24,000 bagi kedua-dua pertuduhan untuk setiap tertuduh dengan syarat tambahan mereka dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Di mahkamah sama, Farhana juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mencuri dua kad ATM milik mangsa yang didakwa dilakukan di antara 27 Dis 2019 dengan 18 Jan lalu di sebuah rumah di Perkampungan Padang Baru 2 di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Siti Aminah membenarkan jaminan RM10,000 bersama syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa selepas Syarifah Nursyuhada memaklumkan barang peribadi tertuduh masih berada di rumah mangsa.

Beliau juga menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan dokumen.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.