Siakap Keli

Suami Maut, Isteri Cedera Ditetak Rakan Kenalan

DUNGUN, 12 Feb – Seorang buruh maut manakala isterinya cedera akibat ditetak rakan kenalan mereka dalam kejadian di rumah kongsi ladang kelapa sawit di Kampung Beril, dekat Paka, kira-kira 30km dari sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt.Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, mangsa, Mohd Zukanain Abdul Aziz, 39, meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian leher manakala isterinya, Rosnah Muhamed, 34, mengalami kecederaan di tangan kanan.

Sebelum kejadian, beliau berkata, pasangan suami isteri bersama lima anaknya telah pergi ke rumah suspek untuk makan malam pada jam 8 malam memandangkan suspek tinggal seorang diri.

“Selesai makan malam, suspek, yang merupakan warga Indonesia, pergi ke halaman rumah dan menebas belukar di sekitar kawasan rumahnya sebelum tiba-tiba menghampiri mangsa.

“Mangsa melihat keadaan suspek yang berkelakuan ganjil itu turut mengambil sebilah parang di dalam keretanya dan bertanya apa masalah yang dihadapi suspek, seterusnya mangsa merapati dan merampas parang suspek,”  katanya.

Bagaimanapun, katanya, suspek merampas parang mangsa dan terus menetak mangsa di bahagian leher sebelah kiri dan kemudiannya menetak isteri mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa yang mengalami kecederaan telah membawa kereta keluar dari kawasan kejadian untuk meminta bantuan sehingga tiba di tapak pos pengawal projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Beril, katanya.

Baharudin berkata pengawal pos berkenaan segera menghantar mangsa dan isterinya ke klinik Kesihatan Paka dan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu mengenali suspek tersebut kira-kira empat tahun dan mereka bekerja di ladang bersebelahan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan gerakan mengesan suspek berusia 29 tahun itu sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh” katanya.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, suspek, yang bersembunyi di kawasan belakang rumahnya, berjaya ditahan oleh sepasukan anggota yang pergi ke lokasi kejadian dan merampas sebilah parang berukuran 48.26 sentimeter.

“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut. Motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan.

“Ujian saringan akan dilakukan untuk mengetahui sama ada suspek di bawah pengaruh dadah,”  katanya.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)