Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

Bekalan Topeng Hidung Dan Mulut Cukup, Jangan Buat Pembelian Panik – Saifuddin

Putrajaya : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan topeng hidung dan mulut mencukupi untuk keperluan orang ramai dalam mengawal jangkitan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan membeli stok sedia ada sebanyak 400,000 keping topeng hidung dan mulut daripada pengeluar tempatan dan strategi pengedaran kepada orang ramai akan diumumkan kemudian supaya masyarakat tidak melakukan pembelian panik dengan jumlah yang banyak.

”Mereka (pengeluar tempatan) bersetuju (untuk membekal topeng hidung dan mulut) dan kami telah mengenal pasti jumlah topeng yang diperlukan. Saya juga telah memaklumkan kepada Kabinet dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pada masa sama, kami sedang melihat kepada pilihan lain supaya pengeluar dapat meningkatkan pengeluaran mereka dan kami bersetuju untuk membantu apa sahaja masalah yang mereka hadapi. Jadi, setakat ini, kami bersedia untuk membuat pesanan kepada pengilang sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi dialog antara KPDNHEP dengan pemain industri mengenai impak COVID-2019 serta cadangan untuk melegakan situasi itu, di sini hari ini.

Ditanya berapa banyak topeng yang ditempah, Saifuddin berkata: “Kami perlu bergantung kepada kapasiti mereka…sebagai contoh beberapa (pengilang) berkata mereka mempunyai stok sedia sebanyak 400,000 keping dan boleh menghasilkan 200,000 keping sehari, ada yang kata boleh hasilkan 100,000 keping seminggu, ada juga yang boleh sediakan 50,000 keping.

”Beberapa pengilang mengatakan mereka perlukan bantuan kerajaan. Kami akan beri komitmen untuk membantu mereka, tetapi seberapa banyak yang mereka ada kami (kerajaan) bersedia untuk membeli,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata aduan kekurangan topeng hidung dan mulut sebelum ini berpunca daripada permintaan mendadak menyebabkan pasaran domestik menghadapi kekurangan bekalan.

Mengenai tindakan sama ada KPDNHEP akan mengehadkan pembelian cecair pembasmi kuman dan topeng, beliau berkata pembelian secara besar-besaran tidak berlaku di seluruh negara sebaliknya hanya di negeri tertentu.

”Belum sampai masa itu (hadkan pembelian). Saya lebih tumpukan kepada mencukupkan bekalan dengan kerjasama pengeluar yang menyatakan persetujuan dan memberi angka berapa mereka mampu hasilkan,” katanya.

Sementara itu, mengenai sesi dialog bersama pemain industri, Saifuddin Nasution berkata kementerian akan mengambil pandangan dan cadangan mereka untuk dimajukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana kerajaan dalam proses merangka satu pakej rangsangan ekonomi yang akan dibentangkan Mac ini.

Beliau berkata perdagangan domestik adalah penyumbang signifikan ekonomi negara khususnya sektor pengedaran dan peruncitan, dan berharap menerusi sesi dialog itu, kerajaan dapat membantu pemain industri dalam melegakan masalah untuk menghadapi cabaran COVID-2019.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.