Siakap Keli

Golongan B40 Berusaha Dapatkan Maklumat Kemudahan Disediakan Kerajaan

KANGAR, 13 Feb — Orang ramai terus menunjukkan minat untuk mendapatkan penjelasan terperinci mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah B40.

Sejak beberapa hari lepas, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, penuh sesak dengan orang ramai yang mahu mendapatkan penerangan tentang Bantuan Sara Hidup (BSH2020), Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (MySalam), Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) dan Program Subsidi Petrol (PSP) 2020.

Warga emas, Nahurai Ismail, 65, daripada Kampung Belanga Pudak antara yang tidak mahu terlepas peluang menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan bagi membantu golongan itu meneruskan kelangsungan hidup namun mengakui masih tidak faham mengenai perkhidmatan kesihatan di bawah Skim PeKa B40.

“Makcik orang tua tak tahu sangat pasal benda ini, makcik cuma ada dengar dari orang kampung bahawa kerajaan sediakan bantuan kepada orang miskin tapi kena datang daftar ke LHDN, dia orang cakap boleh ‘pakai komputer’ (semak secara dalam talian) …tapi makcik tak pandai, tak ada siapa boleh bantu makcik, jadi makcik datang ke sini,” kata ibu tunggal itu kepada Bernama di perkarangan bangunan LHDN Perlis.

PeKa B40 ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur 50 tahun ke atas yang berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah, membolehkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana klinik PeKa B40 berdekatan dengan hanya membawa MyKad.

Turut berkongsi pengalaman, Abdul Muas Rani, 52, yang datang ke LHDN bagi mendapat maklumat mengenai manfaat mySalam namun sedar tersalah tempat setelah mendapat penerangan daripada pegawai LHDN.

“Pakcik datang beratur sejak 7 pagi lagi kerana tidak ingin terlepas peluang namun bila sampai giliran ke kaunter baharu dapat tahu bahawa tersilap tempat …nasib baik pegawai bertugas memberi penerangan secara terperinci, barulah pakcik faham,” katanya yang menghidap tekanan darah tinggi sejak lima tahun lepas.

Berikutan kekeliruan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat memberi penerangan lebih terperinci  kepada orang ramai, khususnya warga emas di luar bandar kerana mereka tidak mempunyai kemahiran untuk memperoleh maklumat secara dalam  talian.

PeKa B40 diuruskan syarikat milik kerajaan, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), dengan agenda untuk meningkatkan akses rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti dan menyumbang kepada kelestarian sistem kesihatan.

PeKa B40 dan mySalam dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lepas untuk saling melengkapi bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.