Siakap Keli

Mufti WP Perjelaskan Hukum Makan Daging Kelawar

Dunia telah digemparkan dengan penemuan virus baru bernama Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa di China dan menjangkiti lebih 40,000 orang di seluruh dunia. Antara dakwaan punca virus ini tersebar ialah dari haiwan eksotik seperti kelawar dan ular.

Timbul persoalan dalam kalangan umat Islam mengenai hukum memakan daging kelawar. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penjelasan lengkap daripada Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum memakan daging kelawar pada orang Islam seperti berikut:

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Baru-baru ini saya terbaca di dalam satu blog yang menyatakan ada pendapat yang menghalalkan memakan kelawar tetapi hukumnya adalah makruh. Selepas itu, saya jadi terfikir-fikir. Apakah hukum memakan daging kelawar yang sebenarnya? Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

(Surah al-Baqarah : 168)

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Begitu juga, di dalam ayat yang lain, Allah SWT telah berfirman :

Allah SWT berfirman :

يَسْـَٔلُونَكَ مَاذَآ أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتُ

Maksudnya : “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) : Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah : Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.”

(Surah al-Maidah : 4)

Syeikh al-Maraghi mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan (ٱلطَّيِّبَـٰتُ ) ialah apa sahaja makanan yang baik untuk diri dan juga elok untuk kehidupan yang mana manusia makan dengan penuh selera. Ia juga adalah makanan yang boleh dimakan dan dicerna dengan baik oleh manusia sehingga memberikan zat-zat yang mendatangkan manfaat kepada manusia.(Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/56)

Definisi kelawar

Kelawar ialah binatang seperti keluang tetapi lebih kecil yang terbang pada waktu malam untuk memakan serangga, manisan dan bunga-bungaan.[1] Manakala al-Khatib al-Syirbini pula mendefinisikan kelawar sebagai seekor burung kecil yang menyerupai tikus serta tidak memiliki bulu pelepah dan terbang pada waktu (malam) antara Maghrib dan Isyak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/153)

Memakan daging kelawar

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Imam al-Nawawi telah menyatakan bahawa kelawar itu telah haram (dimakan) secara qat‘ie. Imam al-Rafie pula menyebutkan bahawa boleh jadi padanya (hukum memakan kelawar) terdapat perselisihan (khilaf). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/22 dan Raudhah al-Talibin, 3/273) Manakala menurut pendapat mazhab Hanafiyyah dan Malikiyyah kelawar halal dimakan tetapi yang pendapat yang masyhur di sisi mazhab Malikiyyah hukumnya adalah makruh. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/137)

Terdapat riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya :

لَا تَقْتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإِنَّ نَقِيقَهَا تَسْبِيحٌ , وَلَا تَقْتُلُوا الْخُفَّاشَ فَإِنَّهُ لَمَّا خَرِبَ بَيْتُ الْمَقْدِسِ قَالَ: يَا رَبِّ سَلِّطْنِي عَلَى الْبَحْرِ حَتَّى أُغْرِقَهُمْ

Maksudnya : Janganlah kamu semua membunuh katak, kerana suaranya adalah tasbih. Dan janganlah membunuh kelawar, kerana ketika Baitul Maqdis dirobohkan, ia telah berdoa, ‘Ya Allah, berikanlah aku kekuasaan untuk mengatur lautan, sehingga aku dapat menenggelamkan mereka (orang yang merobohkan Baitul maqdis).” [HR al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (19382)]

Imam al-Baihaqi mengatakan bahawa hadis ini adalah mauquf dan sanadnya adalah sahih. Kemudian, beliau menyebut :

 وَالَّذِي نَهَى عَنْ قَتْلِهِ يَحْرُمُ أَكْلُهُ إِذْ لَوْ كَانَ حَلَالًا أَمَرَ بِذَبْحِهِ وَلَمَا نَهَى عَنْهُ وَلَمَا نَهَى عَنْ قَتْلِهِ كَمَا لَمْ يَنْهَ عَنْ قَتْلِ مَا يَحِلُّ ذَبْحُهُ وَأَكْلُهُ

Maksudnya : “Haiwan yang dilarang untuk dibunuh, haram untuk memakannya kerana sekiranya haiwan itu halal (dimakan), sudah tentu akan diperintah untuk menyembelihnya dan tidak dilarang mengenainya (membunuhnya).  Dan apabila tidak dilarang untuk membunuhnya sebagaimana  tidak dilarang untuk membunuh haiwan yang halal untuk disembelih dan dimakan.” (Lihat al-Sunan al-Kubra, 9/534)

Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa :

 قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ مَا نُهِيَ عَنْ قَتْلِهِ حَرُمَ أَكْلُهُ لِأَنَّهُ لَوْ حَلَّ أَكْلُهُ لَمْ يُنْهَ عَنْ قَتْلِهِ كَمَا لَوْ لَمْ يُنْهَ عَنْ قَتْلِ الْمَأْكُولِ

Maksudnya : “Imam Syafie dan ashabnya (ulama mazhab Syafi’iyyah) mengatakan bahawa apa-apa (haiwan) yang dilarang daripada membunuhnya, hukumnya adalah haram untuk memakannya kerana kalaulah halal (boleh) memakannya sudah tentu tidak akan dilarang untuk membunuhnya sebagaimana tidak dilarang untuk membunuh (menyembelih) haiwan yang dimakan.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/22)

Oleh sebab itu, kelawar adalah haram untuk dimakan kerana dilarang untuk membunuhnya.

Begitu juga, Ibn Qudamah menyebut di dalam kitabnya bahawa hukum memakan kelawar adalah haram kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang dianggap kotor (jijik). Kemudian, beliau telah menukilkan pendapat al-Nakha‘ie yang menyatakan bahawa :

كُلُّ الطَّيْرِ حَلَالٌ إلَّا الْخُفَّاشَ. وَإِنَّمَا حُرِّمَتْ هَذِهِ؛ لِأَنَّهَا مُسْتَخْبَثَةٌ، لَا تَسْتَطِيبُهَا الْعَرَبُ، وَلَا تَأْكُلُهَا

Maksudnya : “Semua jenis burung itu adalah halal (dimakan) kecuali kelawar. Dan diharamkan kelawar ini kerana ia dianggap kotor (jijik) serta masyarakat Arab tidak menganggapnya baik dan juga tidak memakannya.” (Lihat al-Mughni, 9/410-411)

Kesan makan kelawar dari sudut kesihatan[2]

Terdapat banyak kajian saintifik yang membuktikan bahawa haiwan liar seperti kelawar, keluang dan seumpamanya mampu menjadi punca kepada penyakit yang berbahaya buat individu yang memakannya. Antaranya Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) telah dijumpai terdapat pada  spesies kelawar Rhinolophus Sinicus.

Begitu juga, keluang besar (Pteropus vampyrus) dan keluang kecil (Pteropus hypomelanus) disyaki sebagai pembawa utama virus Nipah. Dan virus ini disebarkan melalui perkongsian buah yang dimakan di antara kelawar yang berbeza serta hanya dapat dipindahkan kepada manusia sekiranya daging haiwan liar tersebut dimakan mentah.

Selain daripada itu, Kelawar buah daripada spesies Hypsignathus monstrosusEpomops franqueti dan Myonycteris torquata juga dikenalpasti sebagai pembawa virus Demam Ebola Berdarah (Ebola Hemorrhagic Fever). Virus ini dipindahkan secara tidak sengaja kepada manusia sama ada melalui darah, air liur atau bahan buangan.

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan daging kelawar adalah haram dimakan sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa telah berlaku pengharaman memakan kelawar secara qat’ie.
  • Lebih-lebih lagi, telah terbukti melalui banyak kajian yang telah dijalankan bahawa kelawar adalah merupakan antara haiwan liar yang sering dikaitkan sebagai pembawa utama virus-virus yang berbahaya seperti SARS, virus Nipah, dan virus Demam Ebola Berdarah
  • Selain itu, menjadi tuntutan ke atas kita seorang Muslim, bukan sahaja perlu memilih makanan yang halal tetapi juga perlu berkualiti.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa