Siakap Keli

Pakar Hong Kong Dakwa Covid-19 Boleh Jangkiti 60 Peratus Populasi Dunia Jika Tak Mampu Dibendung

Covid-19 mampu menjangkiti 60 peratus populasi dunia jika usaha untuk membendung virus tersebut gagal, dakwa Profesor Gabriel Leung, Pengerusi Perubatan Kesihatan Awam Hong Kong.

Beliau berkata demikian setelah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan bahawa kadar penularan koronavirus setakat ini hanyalah permulaan dan tidak menggambarkan kemampuan sebenar wabak itu.

Hal ini kerana terdapat kes melibatkan individu yang tidak ke China namun turut dijangkiti virus berkenaan.

Tambah Gabriel, biarpun kadar kematian berada pada tahap 1 peratus, ia masih boleh membunuh jutaan manusia, lapor Daily Mail.

Profesor Gabriel Leung. (Kredit: Daily Mail)

Dengan populasi global melebihi 7 bilion, virus itu dipercayai boleh menjangkiti lebih 4 bilion manusia jika penularan wabak itu terus meningkat.

Hal ini bermakna sebanyak 45 juta kematian akan berlaku jika satu peratus populasi dunia maut akibat virus, lapor portal itu.

Walaubagaimanapun, barisan pemimpin WHO meminta pakar-pakar virus untuk berhenti ‘membuat andaian dengan angka yang tidak berasas.’

Sementara itu, jumlah kes baru dilaporkan di China setiap hari dilaporkan semakin berkurang. Namun saintis menolak kemungkinan bahawa penularan virus itu telah mencapai kemuncaknya.

Lebih 45,000 orang dari 30 negara kebanyakannya dari China dijangkiti koronavirus terbaru, Covid-19 yang meragut sekurang-kurangnya 1,100 nyawa.

Seorang wanita di Beijing memakai plastik ketika berjalan di kejiranan tempatan. (Kredit: The Guardian)

Pakar yang mengkaji wabak itu menjangkakan angka sebenar akan menjadi lebih tinggi berikutan ribuan pesakit hanya mempunyai simptom ringan atau tidak menunjukkan sebarang simptom.

Pengetahuan dan ujian diagnostik koronavirus diharap dapat mengesan pesakit lebih cepat untuk mengelakkan virus dari mencapai potensi penularan maksimum, tulis Daily Mail.

Graf peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat koronavirus

Kredit: The Guardian

Sumber: Daily Mail, The Guardian

Amira

Love yourself.