Siakap Keli

Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 Ditutup Akibat Kencing Tikus

JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) — Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 dekat Kulai, ditutup kepada pengunjung mulai semalam sehingga 26 Feb ini berikutan beberapa kejadian leptospirosis di pusat rekreasi berkenaan.

Pegawai Daerah Kulai Mohd Radzi Mohd Amin berkata pihaknya menerima makluman berhubung penutupan terbabit daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kulai mengesahkan notis perintah tutup yang dikeluarkan pada 12 Feb (semalam). Ini merupakan tindakan di bawah Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Penutupan ini adalah ekoran daripada kejadian beberapa kes leptospirosis (kencing tikus) yang dikaitkan dengan penggunaan premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Radzi berkata perintah penutupan itu adalah bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan agar kawasan berkenaan selamat bagi pengunjung.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi pusat rekreasi berkenaan sementara tugas pembersihan dilakukan.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung gambar notis penutupan Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai mulai 12 hingga 26 Feb ini ekoran jangkitan kencing tikus.

Pusat rekreasi itu sebelum ini pernah ditutup kepada pengunjung antara Mei dan Jun 2017, juga akibat kencing tikus.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: