Siakap Keli

COVID-19: Empat Lagi Pesakit Pulih Sepenuhnya – Dr Wan Azizah

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) — Empat lagi individu yang dijangkiti COVID-19 telah dibenarkan pulang hari ini, menjadikan bilangan kes yang sembuh dan dibenarkan sebanyak tujuh orang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata empat individu berkenaan merupakan kes pertama, kedua, ketiga dan kelima daripada keseluruhan 19 individu dijangkiti virus itu sejak kes pertama dikesan 25 Jan lalu.

Beliau berkata kesemua empat individu itu merupakan kontak rapat kepada kes pertama membabitkan warga China yang dilaporkan di Singapura, dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan COVID-19 yang dijalankan sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif.

“Kesemua mereka merupakan warganegara China, melibatkan wanita berusia 66 tahun, 36 tahun, dan kanak-kanak lelaki berusia 11 dan dua tahun,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat berhubung COVID-19 di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata jumlah kumulatif kes COVID-19 kekal 19 kes dengan sembilan daripadanya adalah kes dalam siasatan (PUI), lapan kes membabitkan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan, melibatkan 13 individu warganegara China dan enam rakyat tempatan.

Beliau berkata sebanyak 239 kontak rapat telah dikenal pasti melibatkan 181 warga Malaysia, 46 China dan 12 individu lain-lain warganegara.

Kesemua kontak rapat yang telah dikesan sudah diambil sampel dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian, katanya.

Dr Wan Azizah berkata semua 107 individu sedang dalam  pemantauan di  Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negeri Sembilan, berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata jika keputusan saringan akhir menunjukkan negatif COVID-19, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah pada hari ke-14 iaitu pada 18 Feb nanti.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: