Siakap Keli

”Dia Belanja Satu Kedai, Tanggung Dana Ceramah Ustaz Keliling Pahang” Lepas Lima Hari Pergi, Ali Dedah Kebaikan Abam

Pemergian pelawak terkenal, Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan atau lebih dikenali dengan nama Abam Bocey baru-baru ini, ternyata meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Bukan sahaja majlis pengebumian arwah diiringi ribuan peminat, malah sisi kebaikan arwah sepanjang hayatnya telah didedahkan satu demi satu.

Ramai yang tidak menyangka begitu banyak kebaikan yang dilakukan arwah selama ini sehingga menjadi inspirasi kepada mereka yang masih hidup.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik oleh Malaysia Gazette, adik arwah, Ali Puteh, menceritakan kebaikan abangnya itu bukan sahaja kepada ahli keluarga tetapi kepada orang ramai termasuk pusat-pusat tahfiz dan anak-anak yatim.

Anak yatim berpusu datang

Kata Ali, ketika arwah dimandikan, di luar bilik terdapat ramai kanak-kanak yang menunggu sekurang-kurangnya 40 orang berpakaian sekolah agama, sekaligus menimbulkan rasa hairannya.

”Bila saya tenung, budak-budak itu merupakan ‘adik-adik’ kami.. adik-arwah arwah terutamanya, anak yatim yang arwah tanggung di Batu 8..

”Saya tanya kenapa bersila kat sini? Tak apalah abang Ali, dia kata.. kita nak tunggu abang.. yang menunggu dia tu ialah anak-anak syurga, anak yatim yang doanya luar biasa,” kata Ali.

Hantar duit belanja ‘adik’ aku

Malah, anak-anak yatim ini juga berpusu untuk mengusung jenazah ‘abang’ mereka.

Semasa hayat arwah, Ali juga sering menjadi wakil kepada abangnya itu untuk menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim.

”Dia tak panggil sumbangan arwah ni.. dia kata hantar duit belanja adik aku.. adik nak sekolah..

”Kau rasa adik-adk aku dah makan belum? Dia selalu macam tu.. Dia dapat job cash, dia cakap boleh tak kita pergi beli makanan, kita makan dengan adik-adik aku..

”Bila sampai kita makan sama-sama, makanan yang dia belanja.. benda ni dia tak pernah hebahkan langsung, tunjukkan apa pun kepada orang ramai walau di media sosial..” kata Ali.

Sifat pemurah ‘luar biasa’ 

Kata Ali, arwah abangnya itu juga memiliki sifat pemurah yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dan tidak mampu dilakukan oleh ramai orang walaupun mempunyai kemampuan kewangan.

”Kedai mamak yang penuh dengan orang tanga mengira bangsa.. dia lepas makan, dia suruh kira semua.. dia tak kira siapa cina, india.. satu kedai bukan satu warung tapi satu kedai..

”Bukan satu kali, tetapi banyak kali di kedai lain.. bila bayar dia beritahu kaunter jangan beritahu siapa bayar..

”Itu adalah satu benda contoh yang kita tak mungkin buat.. sebab bukan dia banyak duit.. kalau kita kira lagi orang banyak duit daripada dia.. ramai lagi jutawan..” kata Ali.

Tanggung kos penceramah bebas

Ali memberitahu, menerusi satu panggilan daripada Pencetus Ummah (PU) Azman, baru-baru ini, pendakwah itu telah menyampaikan pesanan kepada Ali daripada seorang rakannya yang merupakan penceramah bebas dari negeri Pahang.

”Dia menangis beritahu saya, pergerakan Ustaz Anas untuk berceramah, berkuliah, menyampaikan segala misi bantuan di negeri Pahang ataupun segalanya ditanggung oleh arwah..

”Itu yang sangat luar biasa sehingga PU Azman menangis.. kerana dia Ustaz pun tidak mampu melakukannya..

”Kita bukan belanja orang pergi ‘holiday’.. kita support orang untuk pergi buat benda macam tu dan tanggungannya adalah dia seorang sahaja..” kata Ali.

Memang tidak tercapai dek akal betapa banyak kebaikan yang dilakukan oleh arwah. Ikuti temubual penuh seperti di bawah.

Moga segala kebaikan budi Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan atau Abam Bocey, diberi balasan setimpalnya oleh Allah, diangkatkan darjatnya ke tempat yang mulia dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin.

Sumber : Malaysia Gazette

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra