Siakap Keli

Hasrat L/KPL Mohamad Faiz Bina Rumah Tidak Kesampaian

Kota Bharu : Hasrat seorang anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, L/Kpl Mohamad Faiz Bukhari, 28, untuk membina rumah tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan di Km37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, dekat Kampung Salak Stesyen, Sungai Siput, Perak malam tadi.

Ibu mangsa, Che Senah Che Awang, 62, berkata Allahyarham Mohamad Faiz menyuarakan hasrat untuk membina sebuah rumah berdekatan rumah ahli keluarganya ketika beliau pulang bercuti pada minggu lepas.

”Mohamad Faiz ada memberitahu beliau mahu membina rumah untuknya sekeluarga di tanah milik kami dan sudah menanda lokasi berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jambu di sini, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 10.20 malam itu, Mohamad Faiz serta isterinya, Nik Iedayu Nik Hassan, 30, dan anak bongsu mereka, Mohamad Faqih Irsyad, 16 bulan, yang menaiki kereta jenis Proton Saga BLM maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah treler bermuatan bahan binaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar.

Turut maut, adik Nik Iedayu iaitu Nik Ifieka, 28, manakala seorang lagi anak pasangan itu Mohamad Fariz Iskandar, 3, cedera parah dan masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Semasa kejadian, dipercayai Mohamad Faiz dan keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan di gerai yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Che Senah berkata, beliau menerima berita kemalangan yang menimpa anak keenam daripada sembilan beradik itu selepas dimaklumkan oleh suaminya, Bukhari Rejab, 65, yang menerima panggilan daripada rakan Mohamad Faiz pada 12.15 tengah malam tadi.

”Suami memberitahu Mohamad Faiz terlibat dalam kemalangan dan telah meninggal dunia. Saat itu saya seolah-olah hilang pertimbangan dan sangat sedih sehingga ditenangkan oleh ahli keluarga,” katanya.

Che Senah berkata semasa arwah pulang untuk bercuti di kampung pada minggu lepas, beliau tidak menunjukkan perubahan yang luar biasa namun ada meminta untuk memasakkan beberapa hidangan termasuk ayam percik.

”Kerana masa terlalu singkat, mak cik tidak sempat untuk membuatkan ayam percik dan hanya membekalkan kerangka ayam goreng yang diminta Mohamad Faiz untuk bekalan pulang ke tempatnya bertugas,” katanya.

Katanya, jenazah Mohamad Faiz dan isteri serta anaknya dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu petang ini manakala jenazah adik iparnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jejulok, Bachok.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.