Siakap Keli

Obor-Obor Beracun Ditemui Di Pantai Pulau Kekabu, Mampu Jadi Ancaman Pengunjung

Pihak bertanggungjawab disaran agar meletakkan bendera merah dan papan tanda di beberapa lokasi pesisir pantai sebagai tanda amaran kewujudan obor-obor beracun di kawasan itu.

Pensyarah kanan bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata pemasangan bendera merah dan papan tanda itu dapat menyelamatkan orang ramai daripada sengatan bisa obor-obor.

“Obor-obor itu cantik dan menarik perhatian sesiapa sahaja yang menemuinya namun sekiranya tersentuh ia amat berbisa dan menyakitkan. Tidak ramai pengunjung pantai yang sedar bahaya di sebalik kewujudan obor-obor ini, jadi pemasangan bendera merah dan papan tanda dapat membantu pengunjung agar lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas laporan media mengenai obor-obor beracun yang dikenali sebagai portuguese man o’ war (physalia cnidaria) yang ditemui terdampar di Pantai Pulau Kekabu, Marang oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Marang ketika sedang menjalani Latihan Penyelamat Pantai APM, baru-baru ini.

Ditanya tindakan yang perlu diambil individu yang terkena sengatan obor-obor beracun itu, beliau berkata mangsa perlu mendapatkan rawatan di hospital secepat mungkin.

“Mangsa juga boleh meletakkan cuka di kawasan yang terkena sengatan untuk mengurangkan kesakitan, namun ia hanyalah tindakan segera sementara mendapatkan rawatan lanjut di hospital. Obor-obor ini selalunya berada dalam kumpulan dan berkemungkinan masih ada obor-obor lain yang berdekatan dengan lokasi ia ditemui,” katanya.

Tambahnya, air ‘balast’ dalam setiap kapal dagang (dalam tangki pengimbang) kebiasaannya disedut dari pelbagai negara tropika menyebabkan risiko obor-obor berbahaya itu turut disedut, dibawa dan dilepaskan dalam perairan Malaysia (untuk berlabuh) sangat tinggi.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)