Siakap Keli

(Video) Kereta Bertembung Dengan Treler, Bayi Lelaki 16 Bulan Antara 4 Yang Maut

SUNGAI SIPUT, 14 Feb – Polis mengesahkan hanya empat yang maut termasuk seorang bayi lelaki dalam perlanggaran melibatkan kereta dan treler di Km37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, dekat Kampung Salak Stesyen, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata mangsa yang maut ialah anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhri, 28, isterinya Nik Iedayu Nik Hassan, 30, dan bayi lelaki mereka Mohamad Faqih Irsyad berusia 16 bulan.

Turut maut adik Nik Iedayu iaitu Nik Ifieka, 28, manakala seorang lagi anak pasangan tersebut Mohamad Fariz Iskandar, 3, cedera parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh.

“Kesemua mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan di sini, awal pagi ini. Terdahulu, bomba melaporkan lima maut dalam kemalangan itu.

Menurutnya, dalam kemalangan kira-kira  10.20 malam itu, sebuah treler muatan bahan binaan yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar telah terbabas sebelum memasuki jalan bertentangan di lokasi kejadian.

“Kereta Proton Saga BLM yang dinaiki semua mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi treler sebelum dihempap muatan kenderaan berat itu,” katanya.

Menurutnya, dipercayai semasa kejadian Mohamad Faiz dan keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan di gerai yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi.

Mohd Khaizam berkata kesemua jenazah akan dibawa di Kota Bharu, Kelantan untuk dikebumikan, manakala pemandu treler yang berumur 26 tahun ditahan untuk siasatan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput Jeffery Abdullah berkata 10 anggota bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira 10.25 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian terdapat tiga mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut, manakala dua lagi telah dibawa keluar oleh orang awam.

“Seorang daripada yang tersepit ialah kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun. Dia ditemukan dalam keadaan sedar dan terperosok di bawah papan pemuka (dashboard), ” katanya sambil menambah operasi masih diteruskan untuk mengalih treler yang melintang menutupi jalan menuju ke Ipoh.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)