Siakap Keli
Kredit: Sopable/Google

Viral Telur Pecah Dijual Pada Harga Jauh Lebih Murah, Selamatkah Untuk Dimakan?

Mungkin ada antara kita yang belum pernah melihat telur yang telah dipecahkan dan dibungkus di dalam plastik.

Namun bagi mereka yang biasa membelinya, telur ini lazimnya dijual pada harga lebih rendah sehingga RM2.00 untuk 10 biji telur. Sangat menjimatkan, bukan?

Akan tetapi, timbul persoalan lain mengenai tahap kebersihan dan keselamatan makanan ini.

Adakah ia selamat dimakan?

Untuk mengetahui jawapannya, mari kita baca perkongsian Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan.

Tahukah anda telur yang tercemar dengan bakteria salmonella adalah penyebab utama keracunan makanan pada manusia dan boleh mengancam nyawa terutama kepada ibu mengandung, warga tua dan kanak-kanak.

Bakteria salmonella ditemui dalam usus ayam dan ayam boleh dijangkiti oleh salmonella melalui baja, ladang, najis semasa pengangkutan serta sewaktu penyembelihan dan pemprosesan ayam di kilang.

Walaupun langkah terbaik diambil bermula dari ladang hingga ke pemprosesan untuk mencegah jangkitan salmonella ini pada telur, namun keberangkalian ianya terjadi tetap ada terutama ketika penjualan.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Dan adakah anda rasa telur pecah ini bersih dan selamat dimakan? Pencemaran boleh berlaku bermula ketika telur tersebut pecah diikuti dengan pemprosesan untuk mengutip telur pecah dan memasukkannya ke dalam plastik.

Pencemaran juga boleh berlaku ketika penyimpanan untuk jualan.

Dapatkah anda bayangkan bagaimana proses itu berlaku? Adakah pengendali cuci tangan sebelum mengendalikannya? Adakah tempat untuk memproses telur itu bersih?

Bagaimana dengan peralatan yang digunakan, adakah anda rasa ia bersih dan dalam keadaan baik? Bagaimana pula dengan bahan pembungkus yang digunakan?

Bagaimana dengan pembeli, adakah telur tersebut terus dimasak dan dimakan? Atau ianya disimpan entah berapa lama dan adakah ianya disimpan pada suhu yang sesuai (suhu sejuk)? Atau dibiarkan beberapa jam sehingga menggalakkan pembiakan bakteria. Adakah ia dimasak sempurna?

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Di sebalik telur pecah ini, terdapat penilaian risiko keselamatan makanan yang perlu dibuat agar telur pecah ini memang benar-benar tidak tercemar dan selamat untuk dimakan.

Jika ianya tercemar, tidakkah ia memudaratkan kesihatan pengguna? Siapapun layak untuk mendapat makanan yang selamat untuk meneruskan kehidupan.

Apapun, pilihan di tangan anda. Sama-sama kita didik agar orang ramai tidak terabai nyawa memakan makanan yang tidak pasti keselamatan dan kualitinya.

Sebarang aduan, boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri.

Sumber: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.