Siakap Keli
Sumber: Google

355 Penumpang Kapal Persiaran Diamond Princess Disahkan Positif Covid-19

Jumlah penumpang yang menaiki kapal persiaran Diamond Princess yang ketika ini berlabuh di Jepun dan disahkan positif Covid-19 dilaporkan meningkat kepada 355 orang, lapor Channel News Asia hari ini.

”Setakat ini, kami sudahpun menjalankan pemeriksaan terhadap 1,219 penumpang kapal tersebut. Sejumlah 355 orang disahkan positif. Manakala, sebanyak 73 orang pula tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan,” kata Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato.

Berita terbaru itu didedahkan ketika Amerika Syarikat dalam persedian membawa pulang rakyatnya yang menjadi penumpang kapal persiaran tersebut, yang ketika ini dikuarantin di negara Matahari Terbit itu sejak 5 Februari lalu.

Hong Kong juga dilaporkan bersedia untuk membawa pulang seramai 330 orang penumpang rakyatnya dimana Kanada turut menyusul dengan keputusan yang sama.

Usaha Jepun dalam mengawal jangkitan berkenaan dari terus merebak sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

Kapal berkenaan tiba di Jepun awal Februari lalu dan membawa lebih daripada 3,700 penumpang termasuk anak kapal terdiri daripada lebih 50 negara.

Kerajaan Jepun mengambil keputusan untuk mengkuarantin  kapal berkenaan selepas seorang penumpangnya yang turun di Hong Kong diuji positif Covid-19.

Sejak dari itu, kakitangan perubatannya memantau berulangkali tanda-tanda jangkitan dan membawa keluar penumpang yang disahkan positif untuk dirawat di hospital, manakala penumpang yang lain diarahkan untuk kekal di kabin masing-masing sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari.

Jepun dikatakan tidak dapat melakukan pemeriksaan dengan segera terhadap semua penumpang kapal berkenaan disebabkan kekurangan kit ujian, fasiliti dan tenaga kerja di mana sebahagiannya dikerah untuk memantau situasi jangkitan dalam populasi awam di negara tersebut.

”Berdasarkan jumlah jangkitan yang tinggi ketika ini, kementerian mengandaikan risiko pendedahan jangkitan terhadap semua penumpang kapal berkenaan adalah tinggi,” katanya lagi.

Sumber: CNA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.