Siakap Keli
Kredit: Google

Covid-19: Pakar Tunjuk Situasi Macam Mana Covid-19 Boleh Merebak Dalam Pesawat

Penularan koronavirus Covid-19 pastinya merisaukan ramai pihak terutamanya mereka yang terpaksa mengatur perjalanan jauh menaiki pengangkutan awam.

Jika anda bakal menaiki pesawat dalam tempoh terdekat ini, anda perlu mengetahui bagaimana virus ini boleh tersebar dan cara meminimumkan risiko dijangkiti.

Berdasarkan kajian setakat ini, Covid-19 dipercayai tersebar melalui titisan air liur pesakit ketika batuk atau bersin.

Oleh itu, penting bagi kita mengawasi jarak dengan pesakit bagi mengelakkan terkena bendalir yang menjadi pembawa virus berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan Pengawasan Antimikrob dan Kawalan Jangkitan Universiti Perubatan Chicago, Emily Landon, jangkitan influenza boleh berlaku dalam lingkungan jarak enam meter dengan pesakit selama tempoh 10 minit atau lebih lama.

“Jarak dan masa memainkan peranan,” kata Emily.

Lokasi selamat dalam pesawat

Garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan individu berisiko terkena jangkitan adalah mereka yang duduk dalam jarak dua barisan dari pesakit di dalam pesawat.

Walaubagaimanapun, ia tidak semestinya menjamin keselamatan penumpang lain yang duduk jauh dari pesakit. Hal ini kerana ada kemungkinan pembawa virus bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam pesawat.

Dalam kes jangkitan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, seorang pesakit dari Hong Kong ke Beijing telah menyebabkan penumpang lain di luar lingkungan tersebut dijangkiti.

Kredit: Google

Pergerakan penumpang dalam pesawat

Lantaran itu, pasukan penyelidik FlyHealthy Research Team telah mengkaji sikap penumpang dan kru penerbangan bagi menganggarkan jumlah pertembungan di dalam penerbangan yang boleh menyebabkan penyebaran virus antara penumpang serta kru.

“Jika anda duduk di sebelah laluan (aisle) atau tempat duduk tengah dan saya melalui anda untuk ke tandas, kita akan berada dalam jarak yang dekat (kurang 1 meter).

“Jadi jika saya membawa virus, saya boleh menjangkiti anda,” kata Profesor Biologi dan Matematik Universiti Penn State, Weiss.

Kajian itu mendapati kebanyakan penumpang meninggalkan tempat duduk mereka sama ada ke tandas atau memeriksa barangan di ruang simpanan di atas tempat duduk, khususnya mereka yang berada dalam penerbangan panjang.

Secara keseluruhan, kajian tersebut mendapati sebanyak 38 peratus penumpang meninggalkan tempat duduk mereka sekali, 24 peratus bergerak lebih sekali dan 38 peratus tetap di tempat duduk masing-masing.

Kajian ini mendapati penumpang yang paling kurang meninggalkan tempat duduk ialah mereka yang berada di sebelah tingkap di mana 80 peratus daripada mereka tetap di kerusi ketika penerbangan.

Oleh itu, penumpang yang paling kurang terdedah kepada invididu lain adalah mereka yang duduk di kerusi berhampiran tingkap, tulis NatGeo.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Namun demikian, Weiss berkata penumpang pesawat biasanya mempunyai hubungan terus dalam masa yang singkat sahaja.

“Jika anda duduk di kerusi aisle, pasti akan ada beberapa orang lalu di sebelah anda, tetapi mereka berlalu dengan pantas.

“Jadi, kemungkinan pemindahan virus adalah agak rendah kepada para penumpang,” katanya.

Namun, kru pesawat dipercayai mampu meningkatkan risiko jangkitan berikutan mereka lebih sering berjalan dan berinteraksi secara dekat dengan para penumpang.

Kajian itu mendapati kru yang sakit mempunyai kemungkinan menyebarkan virus lebih tinggi kepada 4.6 penumpang. Oleh itu, mereka dinasihatkan agar tidak bertugas jika tidak sihat.

Berikut merupakan gambaran individu yang mempunyai kemungkinan tertinggi berhubungan langsung dengan pesakit.

Kemungkinan berhubungan langsung dengan pesakit

Gambar: National Geographic

Kemungkinan dijangkiti

Sumber: National Geographic

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.