Siakap Keli

217 Pekerja Taman Tema MAPS Terima Pampasan RM 1.2 Juta Akhir Februari

IPOH, 17 Feb – Sebanyak 217 pekerja Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) yang diberhentikan serta-merta susulan penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) pada Januari lepas akan menerima bayaran pampasan pada akhir Februari  ini, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Kementerian itu dalam kenyataan  di sini, hari ini menyatakan  bayaran keseluruhan yang dianggarkan RM1.2 juta itu meliputi bayaran gaji tertunggak, bayaran pampasan gaji sebagai ganti notis pemberhentian pekerjaan, bayaran cuti tahunan dan faedah pemberhentian yang perlu dibayar kepada pekerja selaras dengan peruntukan  Akta Kerja 1955.

Menurutnya, pihak Kementerian Sumber Manusia menerusi Menterinya M. Kula Segaran meminta agar proses pembayaran dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Penerima Dan Pengurus yang dilantik iaitu Tetuan Ernst & Young.

“Para pekerja juga telah menerima gaji untuk bulan Januari lepas termasuk bayaran kerja  lebih masa bagi bulan Disember 2019 pada 4 Feb lepas.

“Kerajaan Perak melalui Perak Corporation Bhd (PCB) turut membantu dalam perkara ini melalui bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja yang mencarum. Pihak PCB telah menyalurkan bayaran bagi caruman KWSP kepada bank yang dipilih,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja telah berusaha membantu dalam mendapatkan maklumat lanjut berhubung tuntutan para pekerja di Jabatan Tenaga Kerja berdasarkan peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955.

“Maklumat terperinci pekerja adalah diperlukan bagi memudahkan penilaian dan pengiraan oleh pihak Jabatan Tenaga Kerja berhubung tuntutan yang layak dibayar kepada mereka selaras dengan peruntukan dalam Akta Kerja 1955,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia turut menyarankan agar kesemua pekerja ATP berdaftar dan membuat permohonan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sehingga hari ini, sebanyak 194 daripada 217 pekerja ATP telah berdaftar dan membuat permohonan dengan Perkeso. Daripada jumlah itu, sebanyak 126 permohonan telah diluluskan bagi membolehkan intervensi pihak Perkeso dalam aspek berkaitan Akta Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso (EIS).

“Baki sebanyak  23 orang lagi adalah dipohon untuk membuat pendaftaran dan permohonan segera. Para pekerja yang telah membuat potongan dalam EIS berkemungkinan layak mendapat bayaran faedah selepas penamatan di bawah EIS,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, para pekerja yang diberhentikan digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian dengan portal JobsMalaysia atau berkunjung secara peribadi ke Pusat JobsMalaysia (JMC) di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, untuk mendapatkan bantuan Jabatan Tenaga Kerja dalam prospek khidmat dan nasihat juga pendaftaran serta pemadanan pekerjaan.

Pada 28 Jan lepas, pihak Penerima dan Pengurus ATP Tetuan Ernst & Young mengeluarkan notis penutupan MAPS berkuat kuasa  28 Jan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta telah dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)