Siakap Keli

Impian Remaja Miliki Rumah Sendiri Musnah Lepas Terlibat Dalam Kemalangan

Kemalangan adalah sesuatu yang sukar untuk dielakkan walaupun segala langkah keselamatan telah diutamakan. Ketahuilah bahawa kecuaian kita berkemungkinan besar boleh membawa derita terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Penderitaan yang dilalui oleh orang yang terkesan dengan kemalangan sangat sukar digambarkan.

Ini kerana, jika mereka terlibat dengan kemalangan sudah pasti akan ada kesannya terhadap fizikal serta mental. Seperti yang telah berlaku kepada individu bernama Dik Wan ini, dia telah terlantar di katil biliknya susulan daripada kemalangan yang telah terjadi ke atas dirinya beberapa tahun lepas.

Seorang pengguna Facebook bernama Natipah Abu ada berkongsikan tentang kisah individu bernama Dik Wan dalam melalui kehidupan yang terpaksa dihadapinya selepas daripada kemalangan yang telah mengubah hidupnya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

BILA IMPIAN BERKECAI

Dik Wan, perjalanan kisah hidupnya pernah dikongsi di sini 5 tahun lalu dan sejak itu, Kak Pah akan selalu berkongsi perkembangan semasa tentang Dik Wan.

Dik Wan, anak sulung dari 4 beradik, bergelar yatim piatu ketika usianya 16 tahun. Kini, Dik Wan sudah pun berusia 24 tahun. Setelah kematian ayah dan ibu, dua orang adik beradiknya dijaga oleh nenek sebelah ibu dan dua orang lagi dijaga oleh nenek sebelah bapa.

Kedua orang datuk, baik sebelah ibu mahupun sebelah bapa telah lama meninggal dunia. Setelah tamat sekolah, Dik Wan bekerja demi membantu nenek menyara adik-adik yang masih kecil. Namun sayang segalanya itu berakhir bila Dik Wan ditimpa kemalangan ketika usianya 18 tahun.

Berakhir keindahan alam remaja Dik Wan

Motosikal yang ditunggang Dik Wan bertembung dengan sebuah kereta. Dik Wan “ terbang“ ke atas cermin depan hingga ke cermin belakang kereta. Sejak itu, berakhirlah keindahan alam remaja buat Dik Wan dan dia terlantar tanpa mampu mengurus diri lagi.

2015 , kisah Dik Wan sampai kepada kita lalu tular. Banyak pihak di luar sana tampil menghulurkan bantuan demi meringankan beban mereka sekeluarga. Dik Wan juga dihantar menjalani rawatan lanjut di Pusat Rehabilitasi Melaka dan juga PPUM.

Berbulan-bulan Dik Wan tinggal di sana tanpa pernah ada rasa ingin pulang ke kempung. Sebab, Dik Wan sangat mengharapkan rawatan moden di sana mampu mengubah nasibnya kini. Dik Wan menyemai satu impian dan harapan yang sangat tinggi.

Walaupun mungkin tidak dapat berlari seperti waktu dulu lagi, dia sangat berharap agar cukuplah kalau dia dapat bangkit berdiri semula. Walau tidak dapat berjalan, cukuplah kalau dia mampu duduk dan menguruskan sendiri keperluan dirinya.

Harapan pulih Dik Wan semakin tipis

Setelah berbulan-bulan menjalani rawatan, akhirnya Dik Wan dibenarkan pulang ke kampung. Dia pulang membawa bersama sebuah kenyataaan yang teramat pahit baginya. Doktor mengesahkan harapan untuk dia kembali pulih semakin tipis bahkan sebarang pembedahan akan merisikokan nyawanya.

Sejak itu, dia mula diberi ubat penenang utk mengawal emosinya. Dia menjalani hari yang suram di atas katil khas ditemani gadget-gadget penghilang bosan.

Tiba-tiba, di tengah suram lorong kehidupannya, hadir sebutir sinar di hujung jalan. Tampil sebuah syarikat korporat yang menjanjikan bantuan kawangan untuk menyiapkan sebuah rumah buat Dik Wan dan adik-adik.

Impian Dik Wan tidak kesampaian

Selama ini, Dik Wan juga mengimpikan untuk mendiami rumah sendiri kerana rumah yang mereka diami sekarang, tanahnya milik orang. Berbunga hati Dik Wan bila merasakan impiannya yang satu ini bakal menjadi kenyataan. Dia ingin berkumpul semula dengan adik-adiknya di rumah baru kelak.

Namun, tiba-tiba pihak tersebut menyatakan bahawa janji itu tidak dapat dipenuhi atas masalah yang tidak dapat dielakkan. Bagai kaca jatuh ke batu, berderai segala impiannya buat kali kedua. Sejak itu, mendadak emosi Dik Wan semakin merudum.

Sebelum ini, walaupun terlantar namun dia masih mampu memendam segala kehilangan yang menimpanya. Hilang ibu dan ayah membawa bersama hilangnya kasih sayang yang teramat suci serta hilang pula keupayaaan diri yang tiada penawarnya lagi.

Yang pasti dulu, walaupun telah kehilangan segalanya, dia masih belum hilang doa dan harapan. Hari ini, itu pun sudah tiada lagi. 

Kini, Insan terpilih ini terus diuji. Ada ketikanya dia menangis, air matanya jatuh berjurai di pipi. Bila ditanya mengapa, dia mendiamkan diri.

“ 🎶 Tuhan Yang Esa
Ampuni dosa ibu
Tempatkan mereka
Di antara kekasih kekasihMu 🎵 …“

Itulah antara bait lagu yang dinyanyikan dengan suara yang mendayu sekali. Selesai nyanyian, dia menyambung dengan bacaan surah-surah lazim. Lancar sekali bacaannya. Dan sesekali dia ketawa tanpa tahu sebabnya.

Adakalanya juga, dia mengadu sakit di badannya yang datang secara tiba-tiba. Mungkin, semua ini terjadi lantaran Dik Wan terlalu kecewa dan sedih atas segala yang telah berlaku. Satu demi satu harapannya hancur berkecai.

Kudrat tok menjaga Dik Wan tidak sama macam dulu

Tok lah insan paling terkesan dengan apa yang terjadi kepada Dik Wan. Selagi ada hayat , Tok memang nekad akan menjaga Dik Wan. Tok telah pun berkorban menjaga Dik Wan sejak sekian lama tanpa memperdulikan dirinya yang sakit.

Berat sungguh ujian Tok. Ketika rakan sebayanya sudah bebas ke surau dan masjid menadah telinga untuk kuliah agama dan beramal ibadah, tok masih lagi bermain dengan kencing-berak cucu. Sedangkan, kudrat tok sudah tidak seperti dulu lagi. Tetapi inilah takdir yang harus dijalaninya dengan tabah.

Mujurlah Dik Wan ada menerima wang bantuan JKM dan juga pencen perkeso ( RM700 ). Dengan wang itulah, Tok yang menjual kuih basah itu membeli segala keperluan ubat-ubatan Dik Wan termasuklah lampin pakai buang.

Saudara terdekat Dik Wan sudah pun menghubungi Jabatan Psikiatri Hospital Langkawi. Hari ini, mereka akan menziarahi Dik Wan di rumah. Di dalam hati bermain satu persoalan yang belum ada jawapannya “Mungkinkah impian Dik Wan utk memiliki dan mendiami rumah sendiri akan menjadi kenyataan nanti”.

Sumber: Natipah Abu

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa