Siakap Keli
Kredit Foto: KKM

Produk Energy Candy Disyaki Mengandungi Bahan Terlarang – KKM

Lambakan produk makanan bertenaga menjadi pilihan ramai tanpa meneliti isi kandungan dan bahan yang terdapat di dalamnya.

Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan di dalam satu kenyataan bahawa produk Energy Candy mengandungi bahan terlarang yang dikenali sebagai tadalafil.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum produk Energy Candy yang didakwa mengandungi bahan terlarang yang tular di media sosial. KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemantauan ke atas produk terbabit.

Hasil analisis makmal ke atas produk Energy Candy yang dipercayai diimport disahkan mengandungi racun berjadual tadalafil. Bahan ini dilarang penggunaannya dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983. Produk yang terlibat adalah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk). Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar. Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Sehubungan itu, larangan pengimportan telah dikeluarkan serta merta dan KKM ingin memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian. Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membeli produk tersebut. Sekiranya telah membeli, tidak memakannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

17 FEBRUARI 2020

Sumber: KKM

Sofea

There's always another side to every story

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa