Siakap Keli
Gambar : Google

JKN Johor Nafi Dakwaan Ada Kes COVID-19 Di Iskandar Puteri

Johor Bahru : Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini menafikan terdapat kes jangkitan COVID-19 di Iskandar Puteri, di sini, seperti yang tular dalam laman sosial Facebook.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu yang menafikan perkara itu berkata Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru telah menerima laporan kes disyaki dan kemudian membuat siasatan di lokasi berkenaan, namun tiada kes COVID-19 dikenal pasti di kawasan itu.

Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook JKNJ hari ini, beliau meminta orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak sahih seumpama itu kerana ia akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya penyebar berita palsu seperti itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, tular di dalam laman Facebook hantaran (posting) dari dua akaun yang meminta warga Johor Bahru berjaga-jaga dan memakai topeng penutup hidung dan mulut apabila keluar rumah dengan mendakwa satu kes COVID-19 berlaku di Iskandar Puteri.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.