Siakap Keli

Covid-19: 2 Pesakit Pulih Sepenuhnya, Baki 7 Kes Positif Di Malaysia

Dua warga tempatan yang dirawat di Hospital Sungai Buloh setelah disahkan dijangkiti dengan virus Covid-19 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) Malaysia dalam satu kenyataan.

Menerusi kenyataan media yang baru sahaja dikeluarkan sebentar tadi, kedua-dua mereka itu adalah merupakan kes ke-17 dan ke-18 yang dikesan di Malaysia.

“Seorang daripadanya merupakan wanita tempatan berumur 65 tahun yang juga merupakan kontak rapat kepada kes ke-9 manakala seorang lagi pula lelaki tempatan berumur 31 tahun yang bekerja di Macau, China,” lapor KKM.

Kedua-dua mereka telah disahkan positif dijangkiti Covid-19 pada 9 Februari 2020 dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Dalam pada itu, jumlah kes yang telah pulih sepenuhnya sehingga ke hari ini ialah 15.

KKM juga turut memaklumkan bahawa tiada kes baru dilaporkan berlaku pada hari ini. Secara tidak langsung, bakal dapat menyaksikan Malaysia bebas daripada virus itu.

“Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga ke hari ini KEKAL sebanyak 22 kes dengan hanya tujuh kes masih dirawat di wad,” tulis kenyataan itu.

Sehingga kini, angka kematian akibat virus COVID-19 secara global dilaporkan telah mencecah lebih 2,000 orang dengan jumlah kes positif dicatatkan semakin meningkat.

Kebimbangan global boleh dilihat apabila terdapat beberapa negara yang mengenakan larangan atau sekatan ke atas warga China yang ingin masuk ke negara-negara ini.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa