Siakap Keli

Covid-19: Terminal Feri Antarabangsa Labuan Dilengkapi Pengimbas Haba Canggih

LABUAN, 19 Feb — Jabatan Kesihatan Labuan hari ini memasang sebuah pengimbas haba di pintu masuk utama Terminal Feri Antarabangsa Labuan untuk mengesan penumpang yang mempunyai simptom COVID-19 atau sebarang penyakit berjangkit.

Pengimbas berteknologi canggih itu mampu mengesan sejauh 20 meter, merekod dan menghasilkan analisis dan imej corak suhu permukaan kulit (haba badan/radang) sebagai gambaran fisiologi manusia yang normal atau tidak.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata terminal itu dipilih kerana peranannya sebagai pintu masuk utama pelepasan pelawat tempatan dan luar negara dari Kota Kinabalu dan Brunei.

“Kami secara rasminya menggunakannya hari ini bukan hanya untuk mengesan penumpang dengan simptom COVID-19 tetapi penyakit berjangkit yang lain.

Mesin ini sebagai sokongan kepada staf perubatan kami untuk menjalankan saringan dengan lebih berkesan selain daripada mengurangkan risiko,” katanya kepada pemberita selepas pemasangan pengimbas berkenaan di terminal itu hari ini.

Sebelum ini, kakitangan Jabatan Kesihatan menggunakan pengimbas termometer bergerak di terminal feri itu dalam melakukan saringan ke atas penumpang.

Sementara itu, beliau berkata proses saringan penumpang di Lapangan Terbang Labuan yang hanya mengendalikan penerbangan tempatan masih menggunakan pengimbas termometer bergerak.

Dr Ismuni juga berkata lebih daripada 35,000 orang yang melalui Lapangan Terbang Labuan , terminal feri serta pekerja tempatan dan asing di pelantar minyak dan gas telah diperiksa setakat ini.

“Sebelum pekerja kapal boleh memasuki  Labuan, mereka perlu menjalani saringan yang dilakukan oleh pegawai perubatan kami yang datang ke kapal tempat mereka bekerja, “ katanya.

Dr Ismuni berkata jabatan itu bekerja sama rapat dengan agensi penguatkuasaan dan keselamatan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis marin, Jabatan Laut  Malaysia untuk melakukan pemeriksaan.

Sumber : BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.