Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Ahli Perniagaan Memandu Dalam Keadaan Mabuk Langgar Pintu Kaca Bank

Bukit Mertajam : Seorang ahli perniagaan yang memandu dalam keadaan mabuk melanggar cermin kaca pintu hadapan sebuah bank di Jalan Kampung Baru di sini ketika ingin memarkir kereta jenis Toyota Hilux untuk ke sebuah kedai serbaneka di situ, tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Superintenden Mohd Mustafa Bidin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.48 tengah malam, lelaki berusia 45 tahun yang mempunyai empat kilang besi itu mengaku dalam keadaan mabuk kerana baru sahaja minum arak di rumahnya di Taman Seri Impian di sini.

“Selain itu, lelaki tersebut mengaku dalam keadaan tertekan kerana telah mengkuarantinkan dirinya selama 14 hari akibat takut dijangkiti penyakit COVID-19 selepas berjumpa dengan rakan-rakan perniagaannya dari China. Dia bagaimanapun tidak membuat sebarang pemeriksaan dengan pihak hospital kerana takut disahkan oleh doktor yang dia memang ada menghidapi penyakit tersebut,” katanya.

Beliau berkata semasa kejadian, ahli perniagaan itu mengaku dalam keadaan separuh sedar dan insiden tersebut berlaku ketika dia ingin memarkir kenderaannya untuk ke kedai serbaneka di situ bagi membeli roti.

Katanya lelaki itu mendakwa dia gagal mengawal keretanya lalu terbabas sehingga melanggar cermin hadapan bank sebelum bertindak mengundurkan kenderaan dan melarikan diri.

Mohd Mustafa berkata semakan kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian mendapati cara ahli perniagaan itu memandu dan melanggar pintu bank tersebut seolah-olah perbuatan yang disengajakan dan bukan terbabas akibat kemalangan.

“Polis turut membuat semakan dengan pihak bank itu bagi memastikan sama ada lelaki itu mempunyai masalah dengan institusi kewangan tersebut sehingga sanggup bertindak sedemikian,” katanya.

Beliau berkata ahli perniagaan itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki tersebut adalah milik isterinya yang mempunyai empat saman memandu laju.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.